Astro Malaysia Holdings Berhad (ASTRO) bakal menjalin kerjasama dengan EcoCentric Transitions, sebuah syarikat usahawan sosial bagi membangunkan lagi program khidmat masyarakat (CSR) syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, idea yang diberikan EcoCentric adalah seiring dengan projek CSR yang sedang dilaksanakan ASTRO.

"Salah satu yang saya kagumi adalah ia terlibat secara langsung dengan apa yang kami lakukan.

"Kami ada hostel dan salah satu isu utama ialah kesukaran untuk memastikan kanak-kanak untuk duduk di hostel jadi mereka boleh fokus kepada pendidikan.

"Bagaimanapun, ibu bapa mereka bergantung kepada mereka untuk bekerja sebagai nelayan atau pekebun untuk meneruskan kehidupan," ujar Rohana.


Menurut Rohana, adalah menjadi harapan Astro untuk melihat impak projek CSR tersebut bakal memberi peluang kepada kumpulan sasaran menjalankan projek eko-tanaman dan penternakan.

"Kami boleh membantu dalam memberi kit untuk memastikan mereka boleh belajar dan boleh bercucuk tanam, berikan mereka kit untuk melakukan eko-tanaman sama ada perikanan atau berkebun yang membolehkan mereka menjual semula.

"Itu boleh mereka lakukan sepanjang hidup dan itu juga boleh dibawa ke kawasan urban," jelas Rohana.

Idea Firdaus Nisha Muhammad Faizal diterima Rohana ketika beliau membentangkan pelan cadangan pembangunan pada Forum Great Ideas yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi British Di Malaysia, Victoria Treadell.

Hadir sama, Setiausaha Negara Britain (Perniagaan, Inovasi & Kemahiran), Sajid Javid dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Kerjasama EcoCentric bersama Astro bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Bagi Firdaus Nisha yang merupakan fasilitator program tersebut, keputusan yang dibuat Rohana ketika pembentangannya amat mengejutkan beliau.

"Saya amat terkejut apabila Datuk Rohana setuju untuk kerjasama dengan kami.

"Saya harap jalinan kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan pastinya Astro sebagai sebuah entiti korporat sedikit sebanyak memberi semangat kepada kami untuk meneruskan usaha murni ini," kata Firdaus Nisha.

EcoCentric Transitions memfokuskan kepada kesedaran dan empati terhadap alam sekitar menerusi bengkel pendidikan dan projek.

Usahawan sosial ini menggalakkan rakyat Malaysia mewujudkan gaya hidup yang seimbang menerusi pengalaman dan menangani masalah menerusi pembelajaran.

Antara kejayaan mereka adalah menerusi Eco Film Festival, Festival Georgetown, ThinkCity dan pelbagai lagi.