Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan StarHub Cable Vision Limited Singapura (StarHub), menjalinkan kerjasama untuk menawarkan saluran beli belah televisyen dan atas talian 24 jam, Astro Go Shop di Singapura.

Saluran berkenaan akan bermula November ini dalam bahasa Mandarin di saluran StarHub TV 110.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan, sejak pelancarannya, Go Shop telah memberikan warga Malaysia keselesaan membeli belah dari rumah di semua skrin dan peranti.

Kini Astro akan memperluaskan lagi perkhidmatan berkenaan ke Singapura dan Astro mensasarkan untuk menawarkan produk menerusi cara yang menarik dan bermaklumat.

“Kami berbesar hati untuk memanjangkan perkhidmatan Go Shop kepada pelanggan Singapura yang sofisikated dan makmur menerusi usaha sama dengan StarHub.

“Aspirasi dan janji kami untuk berusaha memberikan produk dan nilai terbaik secara menghiburkan dan bermaklumat,” kata Rohana.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif StarHub Tan Tong Hai yakin Astro Go Shop akan menjadi kerjasama yang akan berjaya dan menarik buat pelanggan dan perniagaan.

Go Shop menawarkan pengalaman membeli belah 24 jam sehari ketika ini di Malaysia.

Ia dilancarkan pada Januari 2015 dan telah menarik 500,000 pelanggan dan 75 juta jumlah halaman dibaca atau 'page view’ atas talian dan menerusi peranti mudah alih di Malaysia.