Astro Malaysia Holdings Bhd mahu mengembangkan hasilnya kepada lebih RM6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2018 berbanding RM5.6 bilion dalam tahun kewangan 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rohana Rozhan, berkata sasaran akan dipacu oleh unjuran positif dalam Go Shop, Astro Go, Astro NJOI dan segmen pengiklanan digital.

Kumpulan itu juga akan menokok pelanggan asas perkhidmatan televisyen satelit percuma, Astro NJOI, sebanyak 400,000 isi rumah baharu daripada 5.1 juta sekarang ini dan pada masa yang sama, meningkatkan mutu siaran di rumah.


"Kami juga mahu meninfkatkan perkhidmatan Astro Go dan Astro On Demand bagi memastikan pelanggan kami akan terus mendapatkan filem dan siri televisyen terbaik yang disediakan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan hasil tahun kewangan 2017 kumpulan itu di sini hari ini.

Menurut Rohana, bagi tahun kewangan 2017, terdapat 3.3 juta muat turun aplikasi Astro Go dengan 1.1 juta pengguna menonton kira-kira tiga jam kandungan pada setiap minggu.

"Pada tahun ini (kewangan), kami mahu mempunyai mempunyai sekurang-kurangnya lima juta penonton untuk aplikasi tersebut," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai pengiklanan digital, berkata kumpulan tersebut menyasarkan untuk mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar disebabkan media ini semakin berkembang dan ini akan meningkatkan kedudukannya daripada tempat kelima sekarang ini.

Tahun lepas, angka perbelanjaan iklan kumpulan itu adalah sebanyak RM705 juta, 10 peratus lebih tinggi daripada RM640 juta yang direkodkan dalam 2015.

Bagi aplikasi penstrimannya, Tribe, kumpulan itu mahu mengembangkan perkhidmatan tersebut ke dalam pasaran baharu dalam tahun ini termasuk meluaskan servisnya ke Filipina dan Indonesia.

Tribe yang telah dilancarkan di Indonesia dan Filipina pada tahun lepas, sekarang ini telah mencapai sebanyak satu juta muat turun bagi kedua-dua pasaran, katanya. -- Bernama