Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) gagal mengesahkan ketepatan Baki Geran Tertunda dan dana berjumlah RM95.22 juta.

Ini kerana pelunasan geran dan dana bagi tahun berakhir 31 Dis 2017 berjumlah RM112,52 juta tidak mengambil kira pelunasan berjumlah RM95.01 juta melibatkan perbelanjaan tahun 2017.

Menurut laporan Ketua Audit Negara tahun 2017 Siri 2 di sini, kegagalan itu antara asas agensi itu diberikan Pendapat Bertentangan bagi tiga tahun berturut-turut kerana terdapat salah nyata material dan pervasif dalam penyata kewangan.

"Antaranya kegagalan merekodkan nilai hartanah, loji dan peralatan menyebabkan aset terkurang nyata, baki penghutang/pemiutang yang berbeza dengan laporan pengumuran, pendahuluan/geran yang tidak disahkan ketepatannya dan ketidakpatuhan terhadap MPERS (Malaysian Private Entities Reporting Standard) bagi seksyen 5, 11, 18, 24, dan 32," menurut laporan itu.

Antara Pendapat Bertentangan yang diberikan adalah berkaitan hartanah, loji dan peralatan iaitu tidak direkodkan pada nilai penilaian semula seperti yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada tahun 2015 berjumlah RM19.28 juta menyebabkan aset telah terkurang nyata sebanyak amaun itu.

Selain itu, tanah dan bangunan juga tidak diakaunkan secara berasingan melibatkan nilai buku bersih bangunan berjumlah RM696,847 manakala pembelian tanah dan bangunan di Kuching, Sarawak bernilai RM1.40 juta tidak direkodkan.

Turut diberikan Pendapat Bertentangan ialah peralatan dan bangunan di Mix Stage Hulu Klang yang tidak diakaunkan secara berasingan. Ini melibatkan nilai buku bersih bangunan berjumlah RM18.15 juta serta rosot nilai tidak diakaunkan bagi aset di Mix Stage Hulu Klang yang tidak digunakan sejak 1 Jan 2016.

FINAS turut tidak mengiktiraf kos pembangunan sistem kewangan berjumlah RM359,469 sebagai Aset Tidak Ketara seperti mana ketetapan Perenggan 18.4 MPERS Seksyen 18 Aset Tidak Ketara Selain Muhibbah untuk "Work In Progress".

Laporan itu turut menyebut asas kepada Pendapat Bertentangan turut melibatkan pendahuluan dan penghutang pinjaman yang tidak disahkan FINAS, Penghutang Sewaan dengan baki tidak dikutip berjumlah RM468,032 sejak 31 Dis 2016, Penghutang Pelbagai iaitu baki Penghutang Pelbagai di penyata kewangan berbeza dengan laporan pengumuran penghutang berjumlah RM2.45 juta manakala baki Penghutang Sewaan berjumlah RM2.78 juta tidak dikutip sejak tahun terakhir 31 Dis 2016.

Laporan itu turut menyebut baki geran tertunda dan dana berjumlah RM95.22 juta tidak dapat disahkan ketepatannya kerana peluasan geran dan dana bagi tahun terakhir 31 Dis 2017 berjumlah RM112.52 juta tidak mengambil kira pelunasan berjumlah RM95.01 juta melibatkan perbelanjaan tahun 2017.

Menurut laporan itu, FINAS juga tidak melaksanakan tindakan melucut hak deposit filem berjumlah RM8.64 juta seperti keperluan Perenggan 10 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.