Lebih banyak negara kini memanfaatkan dan mengiktiraf sumbangan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) dengan mewujudkan terminal LCC (LCCT) baharu atau membangunkan lapangan terbang sedia ada sebagai LCCT.

Penerbangan sulung AirAsia ke Lapangan Terbang Avalon yang baharu di Melbourne semalam, menerusi syarikat bersekutunya AirAsia X, membuktikan Australia dan khususnya negeri Victoria mengiktiraf sumbangan ekonomi oleh syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia.

Selain Lapangan Terbang Avalon, LCCT pertama di Australia, negara lain seperti Singapura, Jepun dan China turut mewujudkan lapangan terbang khusus bagi LCCT.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lapangan Terbang Avalon, Justin Giddings berkata lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne di Avalon adalah antara yang termurah di dunia.

"Kami menumpukan untuk memastikan kos (lapangan terbang) ini rendah, tetapi masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat penerbangan dan penumpang.

"Apabila anda lihat lapangan terbang di seluruh dunia, ia begitu agam dan terlalu besar, tetapi di sini, kami menjadikannya semudah mungkin bagi penumpang, dengan kurang berjalan dan kurang stres bagi mereka," katanya kepada media Malaysia di sini.

Lapangan Terbang Avalon dibina dengan pelaburan kira-kira AU$48 juta (AU$1=RM3.00), dengan kerajaan Australia menyumbang AU$20 juta dan sokongan tambahan daripada kerajaan negeri Victoria.

Ia milik LinfoxGroup, satu daripada syarikat paling berjaya di Australia.

Giddings berkata selepas AirAsia, lapangan terbang itu mahu menyaksikan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain turut beroperasi dari situ.

"Kami mahu menyaksikan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi dari sini tetapi buat masa ini kami reka bentuk ini untuk AirAsia kerana ia syarikat penerbangan yang sempurna bagi kami. Kami juga bersedia memperluaskan terminal ini di masa depan (apabila perlu)," katanya.

AirAsia kini ialah satu-satunya syarikat penerbangan antarabangsa yang mendarat di Avalon dan dijangka mewujudkan impak pelbagai terhadap pelancongan, perniagaan, pengangkutan darat dan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Lapangan terbang itu akan memberikan Geelong, bandar terdekat yang terletak kira-kira 15 km dari lapangan terbang itu, peluang besar untuk merealisasikan potensinya sebagai bandaraya kedua terbesar di Victoria selepas Melbourne.

CEO AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata AirAsia terkenal dari segi memberi perkhidmatan di banyak sektor yang dikenali sebagai "laluan unik" yang tidak ditawarkan oleh mana-mana syarikat penerbangan lain, seperti sektor baharu Kuala Lumpur-Avalon .

Beliau berkata semasa AirAsia pertama kali melakukan penerbangan ke Bandung, Indonesia, ia merupakan satu-satunya penerbangan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan ke bandaraya itu, tetapi kini terdapat sekurang-kurangnya 13 syarikat penerbangan melakukan penerbangan ke lapangan terbang itu.

"Paling penting, sebuah LCCT sepatutnya beroperasi sebagai lapangan terbang yang ringkas, dan pada masa yang sama mengekalkan keselesaan yang sepatutnya buat penumpang dan memberikan sokongan kondusif bagi operasi syarikat penerbangan.

"Semua ini terhasil daripada kefahaman sepenuhnya daripada kerajaan dan operator lapangan terbang terhadap perniagaan dan model operasi LCC, yang memerlukan aspek pendigitalan dan automasi, untuk mencapai tahap keefisienan tinggi, dan pada masa yang sama memastikan tambang penerbangan rendah bagi orang ramai," katanya.