Auto Bavaria, kumpulan pengedar BMW terbesar yang paling lama beroperasi di Malaysia, memenangi Anugerah Pengurus Terbaik Asia-Pasifik 2017, pada Anugerah Jualan Kecemerlangan BMW di Munich, Jerman baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, anugerah itu mengiktiraf dedikasi pasukan dalam semua bidang utama perniagaan seperti berbanding saingannya, termasuk penjualan, orientasi pelanggan, khidmat selepas jualan, data jualan, pengekalan pekerja serta motivasi.

Auto Bavaria merupakan satu daripada 41 peniaga terkemuka pada majlis anugerah Kecemerlangan Jualan BMW 2017, katanya.

Pengarah Urusannya Jeffrey Gan berkata pada 2016, Auto Bavaria diiktiraf sebagai Peniaga Terbaik BMW dalam kategori Penjagaan Pelanggan di Asia-Pasifik dan Afrika Selatan.

"Tahun ini, kami sekali lagi diiktiraf di peringkat global atas prestasi kami pada 2017, menerusi Anugerah Pengurus Terbaik untuk Asia-Pasifik.

"Diiktiraf di peringkat antarabangsa selama dua tahun berturut-turut pastinya merupakan penghormatan dan saat bersejarah bagi kami semua di Auto Bavaria," kata Gan.

Ahli lembaga pengurusan BMW AG, Pieter Nota, menyampaikan anugerah itu.

-- BERNAMA