AirAsia X mengumumkan laluan penerbangan terbaru dari Kuala Lumpur ke Jaipur, India, dengan tambang promosi bermula RM199 sehala.

Promosi ini bermula dari 5 Feb hingga 11 Feb bagi tempoh perjalanan antara 5 Feb hingga 31 Julai untuk tempat duduk kelas ekonomi.

Tempat duduk flatbed yang pernah memenangi beberapa anugerah juga boleh ditempah dengan harga promosi termasuk semua daripada serendah RM699 sehala.

Setakat ini, AirAsia X merupakan satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menawarkan laluan terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur bagi menggalakkan orang ramai melancong ke Barat Laut India.

Laluan ini akan beroperasi selama empat kali seminggu yang bakal meluaskan rangkaian di Asia Tenggara dan mengukuhkan hubungan AirAsia X dengan AirAsia di India.

Pengerusi Eksekutif AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata: ”Kini kami terbang ke dua destinasi di kawasan Segitiga Emas terkemuka dunia dengan penambahan penerbangan ke Jaipur selain khidmat sedia ada di Delhi.

"Dengan laluan terbaru ini, jumlah penerbangan mingguan menghubungkan Malaysia ke India dibawah Kumpulan AirAsia meningkat kepada 110 kali dan jumlah kapasiti di bawah Kumpulan AirAsia termasuk AirAsia X adalah 22,755," katanya.

Beliau turut berkata dalam majlis khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur semalam, laluan terbaru akan memenuhi peningkatan permintaan serta mengukuhkan hubungan serantau dengan India.

Dengan laluan baharu ini, AirAsia X bersama dengan AirAsia kini menawarkan perkhidmatan laluan ke 19 kota India termasuk Bagdogra, Bengaluru, Bhubaneswar, Chandigarh, Chennai, Goa, Guwahati, Hyderabad, Imphal, Kochi, Kolkata, Mumbai, New Delhi, Pune, Ranchi, Srinagar, Tiruchirappalli dan Visakhapatnam.