Berita  | Bisnes

Bajet 2016 akan bantu kurangkan kesan keadaan luaran tidak menentu

Bajet 2016 akan bantu kurangkan kesan keadaan luaran tidak menentu
Komitmen kerajaan ke arah kejujuran fiskal dengan belanjawan defisit lebih kecil 3.1 peratus daripada KDNK tahun depan merupakan penstabil yang perlu bagi ringgit dan seharusnya disambut dengan baik oleh pasaran kewangan. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi dan ketua industri melahirkan keyakinan Bajet 2016 akan dapat membantu negara mengurangkan kesan keadaan tidak menentu luaran dan mengukuhkan asas ekonomi jangka panjang.

MIDF Group yakin bajet ini akan membentuk dasar fiskal yang efektif dan mantap bagi mengemudi ekonomi tahun depan kerana hala tuju dasar monetari negara masih tidak menentu di tengah-tengah pendirian kadar faedah Rizab Persekutuan AS, kelembapan ekonomi China dan tekanan inflasi harga di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohd Najib Abdullah berkata bajet yang distruktur dengan baik itu mencadangkan langkah-langkah fiskal konkrit yang akan mengekalkan momentum pertumbuhan dan transformasi ekonomi.

"Bajet mempunyai gabungan rangsangan yang optimum, insentif serta perlindungan yang diperlukan untuk mengemudi satu lagi tahun yang mencabar pada tahun depan.
"Walaupun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka perlahan sedikit tahun depan, ia sepatutnya stabil dalam keadaan luaran yang tidak menentu," katanya. 

Komitmen kerajaan ke arah kejujuran fiskal dengan belanjawan defisit lebih kecil 3.1 peratus daripada KDNK tahun depan merupakan penstabil yang perlu bagi ringgit dan seharusnya disambut dengan baik oleh pasaran kewangan, kata Mohd Najib.

Sementara itu, Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyokong Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, dengan menyatakan pendekatan kerajaan itu boleh diterima sebagai satu langkah menangani defisit fiskal negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Saiful Wan Jan berkata bajet itu mempamerkan keseimbangan yang baik antara pendapatan dan perbelanjaan.

Beliau memuji kerajaan yang menjalankan tugas yang baik dengan mempelbagaikan hasilnya menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan untuk mengurangkan kesan harga minyak rendah.

"Saya harap kerajaan akan terus mendisiplinkan perbelanjaannya bagi mencapai bajet berimbang menjelang 2020," katanya kepada Bernama.

Pengurus Negara Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel berkata syarikat itu menyokong pendepatan kerajaan dalam memberikan penekanan sama rata kepada pertumbuhan ekonomi dalam semua sektor dan kesejahteraan rakyat dengan mengukuhkan prasarana bagi menyokong pengembangan ekonomi.

"Kami menyokong rancangan untuk merekayasa pertumbuhan ekonomi bagi mencapai kemakmuran yang lebih maju di Malaysia. Ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan ekonomi yang berkekalan, mewujudkan peluang ekonomi baharu dan memacu kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan," katanya.