Sebanyak RM2.871 bilion diperuntukkan dalam Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2017 bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus demi kesejahteraan kira-kira 1.76 juta warga kota.

Daripada peruntukan itu, sejumlah RM1.728 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.143 bilion bagi pembangunan.

Bajet bertemakan 'Bandarku Rumahku, Wargakota Sejahtera' itu dibentangkan Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz semalam.

Mhd Amin berkata Bajet DBKL 2017 memperlihatkan peruntukan pembangunan meningkat sebanyak 14.6 peratus ataupun RM146.12 juta daripada RM1.143 bilion bagi 2017 berbanding tahun ini sebanyak RM997 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM205.9 juta diperuntukkan bagi membiayai projek-projek pembangunan di bawah Racangan Malaysia ke-11 dan RM2.1 juta bagi projek National Key Result Area untuk pembinaan jejantas, laluan pejalan kaki berbumbung dan koridor jalan.

Selain itu, Mhd Amin berkata sebanyak RM176 juta juga diperuntukkan di bawah program 'Greater KL (Kuala Lumpur)/ KV (Klang Valley)' bagi projek River of Life, Greener KL, Pedestrian Network dan Global Attraction.

Dalam pada itu, ekoran Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA tahun depan, DBKL telah memperuntukkan RM13.2 juta bagi tujuan pengindahan landskap venue Sukan SEA.

Beliau berkata Bajet DBKL 2017 itu merupakan belanjawan seimbang berlandaskan keupayaan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan walaupun dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Bajet ini disediakan dengan mengambil kira faktor realistik, ekonomik, dan mengamalkan prinsip 'value for money'.

"Perancangan tahun hadapan juga adalah berlandaskan visi dan misi DBKL untuk menjadi pihak berkuasa terunggul bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020," katanya.

Mhd Amin berkata memandangkan pertumbuhan ekonomi negara dijangka agak perlahan pada tahun 2017, DBKL tidak mencadang untuk menaikkan kadar cukai taksiran atau membuat penilaian semula ke atas pegangan harta di Kuala Lumpur.

Malahan DBKL akan memberikan insentif kepada pembayar cukai taksiran untuk golongan orang kurang upaya (OKU) sebanyak 20 peratus.

Beliau berkata bajet itu turut akan meneruskan agenda Pelan Strategik DBKL 2010-2020 yang menggariskan lima kerangka strategi utama seperti Bandar Raya Milik Warga Kota, Bandar Raya Makmur Ekonomi, Bandar Raya Bersaring, Bandar Raya Eko, dan Bandar Raya Tadbir Urus Cekap.

Beliau berkata menerusi bajet itu juga, DBKL dijangka memperoleh hasil sebanyak RM2.47 bilion berbanding RM2.28 bilion tahun lepas, peningkatan 8.1 peratus, di mana cukai taksiran merupakan hasil utama yang akan menyumbang sebanyak 44.8 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL. -- Bernama