Sejumlah RM25 bilion diperuntukkan oleh kerajaan dalam Bajet 2017 bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan kepada Kementerian Kesihatan itu bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program kesihatan, antaranya membina dan menaik taraf hospital, bantuan perubatan serta program pencegahan wabak denggi dan Zika.

Ini termasuk pembinaan dan kerja-kerja menaik taraf hospital-hospital baharu serta Klinik Kesihatan di Perlis, Kuching, Mukah, Jempol, Muar dan Johor Bahru.

BACA: BAJET 2017: UCAPAN PENUH PM NAJIB

"Bagi menaik taraf kemudahan hospital, sebanyak RM536 juta diperuntukkan untuk penyediaan peralatan rawatan kardiologi di Hospital Serdang, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru serta pembelian 100 buah ambulans," katanya ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak RM4.5 bilion juga diperuntukkan bagi operasi 340 Klinik 1Malaysia, 11 Klinik Bergerak 1Malaysia, 959 Klinik Kesihatan dan lebih 1,800 Klinik Desa sedia ada manakala RM4 bilion bagi bekalan ubat, 'consumables' vaksin dan re-agen kepada semua hospital dan fasiliti kerajaan.

Perdana menteri berkata bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta atau NGO yang mengendalikan hospital bukan bermatlamatkan keuntungan mengikut kadar kos hospital, dengan pinjaman RM20 juta disediakan untuk membiayai pembelian peralatan hospital tersebut.

Selain itu, sebanyak RM110 juta diperuntukkan iaitu RM70 juta untuk bantuan perubatan kepada 10,000 pesakit yang kurang berkemampuan manakala bagi menggalakkan lebih banyak pusat hemodialisis swasta dibuka, RM40 juta diperuntukkan sebagai geran sekali bayar RM200,000 untuk pembelian peralatan.

Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan RM80 juta bagi Program Komuniti Sihat Perkasa Negara termasuk melaksanakan inisiatif pencegahan dan kawalan ke atas penularan wabak denggi dan Zika di negara ini. -- BERNAMA