Tutup

Berita  | Bisnes

Bajet dikurangkan bukan halangan jadi kreatif

Bajet dikurangkan bukan halangan jadi kreatif
MOHAMED MUSTAFA: UUM akan menggunakan anak syarikatnya untuk mengkomersialkan produk yang mampu memberi pulangan dana yang tinggi.
KUALA LUMPUR: Pengurangan bajet kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 Jumaat lalu bukan halangan besar untuk pihak universiti menjadi kreatif untuk menambah pendapatan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata untuk menambahkan pendapatan, pihaknya akan memberi tumpuan kepada usaha mengkomersialkan produk teknologi dan inovasi.
Dr Mohamed Mustafa berkata, UUM akan menggunakan anak syarikatnya untuk mengkomersialkan produk yang mampu memberi pulangan dana yang tinggi.

"Kita juga memanfaatkan aset-aset universiti yang boleh kita janakan pendapatan dengan penggunaan aset yang efisien dan mengkomersialkan bahagian aset tersebut dengan tidak mengganggu peranan universiti.
"Kita memang bersedia dengan cara itu dan saya rasa universiti harus menjadi inovatif dan kreatif menjana pendapatan dan mencari jalan bagi meneruskan apa yang mereka rancangkan dengan tidak mengurangkan apa-apa tanpa mengganggu kecemerlangan universiti,"  katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Jelas beliau, UUM turut merangka penyusunan semula corak perbelanjaan untuk berdepan realiti semasa seperti pengurangan bajet sebanyak 19 peratus dalam belanjawan tahun depan.

Sebelum ini, UUM telah menerima peruntukan RM309 juta setahun bagi kos perbelanjaan universiti.