Malaysia telah menerima penarafan tinggi daripada Bank Dunia dalam laporan Tadbir Urus Korporat mengenai Pematuhan Terhadap Standard dan Kod 2012 (ROSC) yang dikeluarkan hari ini, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu kenyataan Selasa, SC berkata yang bank itu turut melaporkan yang Malaysia telah diiktiraf sebagai pemimpin serantau dalam tadbir urus korporat, dan telah membuat kemajuan besar dalam penambahbaikan kerangka undang-undang dan pengawal selia yang berkaitan dengan tadbir urus korporat.

"Menurut laporan itu, skor keseluruhan Malaysia adalah lebih tinggi daripada skor purata negara-negara dalam rantau Asia.

"Bank turut memperakui bahawa Malaysia mempunyai pasaran modal yang besar, institusi yang kukuh, peserta pasaran yang sofistikated dan piawaian perakaunan yang berkualiti tinggi," katanya.

Pengerusi SC, Datuk Ranjit Ajit Singh berkata, adalah penting untuk mempunyai sebuah ekosistem tadbir urus korporat yang kukuh bagi mengekalkan minat pelabur dan pertumbuhan yang aktif dalam pasaran modal.

"Kami sangat teruja dengan pengiktirafan Bank Dunia terhadap usaha secara kolektif oleh para pengawal selia dan industri dalam mengukuhkan tadbir urus korporat di Malaysia," kata beliau.

Laporan itu, yang merupakan satu penilaian bebas yang dijalankan oleh Bank Dunia, meneliti kerangka tadbir urus korporat negara yang diukur berdasarkan prinsip-prinsip Tadbir Urus Korporat Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertai penilaian berkenaan, kali pertama pada tahun 2001, diikuti pada tahun 2006.

Daripada enam prinsip-prinsip Tadbir Urus Korporat OECD yang dinilai dalam laporan itu, Malaysia memperoleh markah tertinggi dalam layanan saksama terhadap pemegang kepentingan, kerangka penguatkuasaan dan institusi serta penzahiran dan ketelusan.