Menjelang pengumuman inisiatif memperkasakan ekonomi Bumiputera Sabtu ini, kumpulan usahawan Bumiputera berharap pengumuman itu nanti bakal menyentuh bantuan berbentuk bimbingan dan penyaluran kepakaran.

Ini kerana bantuan berkenaan amat kritikal kepada mereka bagi meneruskan kelangsungan dan daya saing.

Pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat Penyedia Aplikasi Mudah Alih, MadCat World, Nuraizah Shamsul Baharin berkata usahawan Bumiputera memerlukan sokongan yang menyeluruh bukan kewangan semata-mata.

Nuraizah yang berpengalaman 15 tahun dalam industri informasi teknologi dan maklumat, ICT mengakui ada peluang lain yang boleh direbut usahawan Bumiputera supaya boleh menjadi lebih berdikari.

Katanya industri digital menawarkan akses pasaran yang luas dan mampu mengurangkan kebergantungan usahawan Bumiputera kepada bantuan luar.

MadCat World yang ditubuhkan sejak 2011, merupakan syarikat penyedia aplikasi berstatus MSC di Malaysia.

Permintaan bagi produk atau aplikasi syarikat tersebut telah berkembang kepada lebih 180 negara dan dimuat turun lebih 566 000 pengguna dari seluruh dunia.