Belanjawan 2020 benar-benar mencerminkan idea Wawasan Kemakmuran Bersama, memandangkan ia dirancang dengan teliti bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat daripada semua kaum utama serta segmen-segmen penting seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk kumpulan berpendapatan di bawah 40 peratus (B40), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Secara menyeluruh, ia merupakan belanjawan dengan langkah konservatif dan kreatif yang dirangkum dengan cara yang amat baik serta berupaya memacu negara ke arah pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan inklusif.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini memuji pengkhususan tumpuan untuk memajukan transformasi digital negara di samping memastikan manfaat tersebut dikembangkan, bagi membolehkan semua segmen masyarakat mengambil bahagian dalam pembolehan 5G serta teknologi baharu yang lain.

"Ini jelas diperlihatkan melalui insentif cukai untuk pelabur asing yang berasaskan kepada pengetahuan termasuk bagi menggalakkan masyarakat tanpa tunai, sehingga kepada penerokaan teknologi seperti kenderaan berautonomi dan blok rantai.

"Sebagai penggerak dan pembolehan perbankan digital, kami mengalu-alukan inisiatif ke arah memajukan agenda tanpa tunai negara dengan meningkatkan penggunaan e-dompet melalui rangsangan digital berjumlah RM30 sekali sahaja bagi setiap warganegara Malaysia yang berkelayakan," kata Tengku Zafrul lagi.

Selanjutnya, dasar yang membolehkan PKS untuk menerima pakai pendigitalan dalam proses menjalankan perniagaan mereka adalah sesuatu yang amat baik, memandangkan pendigitalan adalah penting bagi membolehkan mereka memanfaatkan potensi dalam industri e-dagang serantau dan global.

Rangsangan tambahan kepada PKS membabitkan insentif kerajaan ke atas pembangunan dan pensijilan perniagaan halal, akan membuka jalan kepada pasaran halal antarabangsa yang bernilai US$3 trilion.

"Selaras dengan matlamat ini, kami sentiasa bersedia untuk membantu PKS dalam memanfaatkan Koridor Halal CIMB Islamic bagi mereka yang mahu meneroka pasaran halal yang semakin berkembang pesat," katanya.

CIMB juga berharap BNM akan mengumumkan perkembangan mengenai lesen perbankan digital, yang mana bank tersebut pasti akan mempertimbangkannya.

Sementara itu, CEO dan Pengarah Urusan CStandard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata komitmen kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi digital melalui pelbagai insentif cukai, penyediaan pusat peningkatan sehenti digital di seluruh negara termasuk pakej rangsangan bagi merangsang penggunaan e-dompet akan memberi impak yang berpanjangan serta positif ke atas industri perkhidmatan kewangan.

Standard Chartered mengalu-alukan langkah kerajaan dalam memperkenalkan pakej pelaburan khas bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk selama lima tahun kepada syarikat Fortune 500, "unikorn global" serta syarikat tempatan yang berjaya memecahkan sempadan pasaran antarabangsa.

"Akar umbi kami dalam pembiayaan perdagangan bermula sejak lebih daripada seabad lalu apabila kami diasaskan sebagai bank pertama di Malaysia, dan kami memuji sasaran kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mendorong pelaburan langsung asing dan membantu syarikat yang mahu berkembang dan bertaut secara global.

"Sebagai sebuah institusi kewangan yang berdedikasi untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan PKS yang dinamik, kami amat teruja dengan pengumuman peruntukan RM300 juta bagi menyokong PKS yang berpotensi untuk menjadi pemain serantau.

"Pertumbuhan PKS dan usahawan yang berterusan adalah kunci kepada pengukuhan ekonomi dan kami gembira melihat kerajaan terus memberi perhatian kepada sektor ini. PKS adalah enjin yang paling utama dalam pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, malahan ia sekarang ini menjadi semakin aktif dalam perdagangan global," katanya lagi.

Menurut Abrar, pembiayaan Islam merupakan satu lagi bidang yang mendapat keutamaan kerajaan.

Malaysia merupakan pasaran pelaburan lestari yang terbesar di Asia (tidak termasuk Jepun) pada 2018 dengan penguasaan dana-dana Islam sebanyak 30 peratus.

Katanya, mempercepatkan kesetaraan jantina dan pemerkasaan wanita adalah penting bagi agenda kepelbagaian dan keterangkuman bank itu.

"Kami percaya pengecualian cukai yang berterusan ke atas dana pelaburan yang mematuhi syariah, mampan dan bertanggungjawab (SRI) akan terus merangsang pertumbuhan pasaran modal Islam Malaysia.

"Negara ini berada dalam kedudukan yang terbaik untuk mendapat manfaat daripada segmen pasaran yang sedang pesat berkembang dan sehingga sekarang mempunyai aset di bawah pengurusan global bernilai sehingga US$23 trilion," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai perkara ini memberitahu bank tersebut memuji skim jaminan kerajaan bernilai RM500 juta bagi menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan wanita dan juga inisiatif Wanita@Kerja, yang bertujuan untuk mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun kepada perempuan yang berumur antara 30 hingga 50 tahun.

Usaha meningkatkan produktiviti dan modal insan di kalangan wanita adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, kata beliau lagi.