ALOR SETAR:Kerajaan diminta memberi tumpuan terhadap usaha membanteras penagihan selain pemulihan dadah terutama di kalangan generasi muda dalam Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan.

Ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dr Zaki Zamani Abd Rashid, berkata peruntukan yang lebih besar boleh disalurkan kepada AADK bagi membolehkan keberkesanan program berkaitan usaha berkenaan dipertingkat.

"Peruntukan itu perlu untuk menangani masalah dadah yang serius dengan lebih berkesan menerusi dasar baharu berkaitan dadah terutama membabitkan aspek pencegahan.

"Saya memohon kerajaan memberi perhatian yang lebih terhadap isu ini kerana ia melibatkan ramai golongan remaja dan belia yang akan menggugat masa depan negara.

"Selain AADK, saya harap lebih banyak peruntukan diberikan kepada jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam usaha ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha pencegahan dan pemulihan dadah tidak boleh dipandang ringan kerana ia seperti wabak yang akan merebak jika tidak ditangani dengan berkesan.

Pada masa yang sama katanya, aspek pembangunan dan rawatan kesihatan mental bagi bekas penagih juga perlu diberi perhatian dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

"KKM perlu diberikan peruntukan yang lebih besar khusus bagi membina pusat pemulihan bagi membantu menangani pelbagai masalah mental yang berpunca daripada penagihan dadah sintetik," katanya.