Jumlah hutang isi rumah telah meningkat sebanyak 5.1 peratus ke RM1111.9 bilion pada Julai 2017 daripada RM1057.8 bilion yang direkodkan pada tujuh bulan pertama, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Seorang warga kota yang telah menyewa rumah di ibu kota sejak lima tahun, menegaskan beliau tiada niat untuk membeli rumah kerana tidak mahu dibebani hutang.

“Saya tiada niat untuk membeli rumah. Rumah merupakan suatu keutamaan tetapi memiliki rumah bukan keutamaan saya. Harga rumah di bandar dan luar bandar sangat mahal! Kebanyakan penduduk Malaysia memang tidak mampu," kata individu yang bertugas di sebuah syarikat penyiaran swasta di Kuala Lumpur.

“Data yang baru dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan rumah di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor mempunyai tahap ‘severely unaffordable’ yang bermakna tiada orang yang mampu beli," kata beliau

Beliau juga menjelaskan bahawa purata umur untuk membeli rumah adalah pada usia 30 tahun.

Jika pinjaman bank diambil untuk membeli rumah, purata yang diambil untuk melangsaikan pinjaman bank adalah 35 tahun.

Apabila pemilik rumah itu sudah habis melangsaikan hutangnya, dia mungkin sudah berusia 65 tahun.

Dengan mengambil kira purata usia rakyat Malaysia iaitu 70 tahun, seseorang itu hanya mempunyai lebih kurang lima tahun untuk hidup bebas daripada hutang rumah.

Beliau juga mengatakan bahawa hutang isi rumah adalah suatu cagaran dan jikalau tidak mampu dilangsaikan, seseorang itu boleh diisytiharkan muflis.

“Ia memang tidak berbaloi untuk hidup sampai 65 tahun membayar hutang dan hanya mampu hidup senang untuk lima tahun.

“Dalam tempoh 35 tahun itu, jika mengalami masalah kewangan yang boleh membuatkan anda tersungkur, anda tiada pilihan tetapi masih perlu membayar hutang rumah.

“Tetapi jika anda sewa, anda boleh tarik diri apabila mengalami masalah, tiada sesiapa yang menghalang.

“Anda mungkin akan mengalami kerugian daripada wang deposit dan bukan diisytiharkan muflis,” tambah beliau.

Majoriti rakyat Malaysia menghadapi kesukaran membeli kebanyakan rumah yang dijual di negara ini berdasarkan median pendapatan isi rumah Malaysia 2016.

Namun begitu, pakar ekonomi mengatakan ia tidak salah untuk anak muda untuk terus menyewa rumah.