Pengecualian cukai perlu diberi kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyumbang dana bagi tujuan kebajikan, kata Dewan Perniagaan Malaysia China (MCCC) dalam satu kenyataan.

“Kami percaya semua sumbangan yang membantu pergerakan masyarakat sivil perlu diberi pengecualian cukai,” kata Presiden MCCC Tan Yew Sing ketika membentangkan idea tersebut kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bagaimanapun menurut Yew Sing, Guan Eng menjelaskan setiap sumbangan harus disemak satu persatu sebelum keputusan pengecualian cukai dibuat.

Guan Eng juga berkata keputusan akhir sama ada pengecualian cukai layak diberi adalah tertakluk kepada pihak kementerian.

Tambah Yew Sing pengecualian cukai itu penting bagi membantu organisasi bukan bersandar keuntungan dan bukan kerajaan dalam pengurusan kewangan mereka.

Beliau dan wakil MCCC lain bertemu Menteri Kewangan pada Rabu bagi membentangkan cadangan tersebut.

Selain itu MCCC turut membincangkan isu ekonomi termasuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pembiayaan mikro.

“Pembiayaan mikro amat penting untuk membantu perniagaan bermula, berkembang dan berubah.

“Kami berharap Kementerian Kewangan akan menyediakan kebebasan pasaran sekaligus membolehkan PKS mendapatkan pembiayaan dengan lebh mudah,” katanya dalam kenyataan.

Yew Sing berkata Guan Eng turut memberi penekanan kepada Industri 4.0 yang perlu diadaptasi oleh komuniti perniagaan di Malaysia bagi mengangkat ekonomi negara ke peringkat lebih tinggi.