BMW Group Malaysia menyasar mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan hibrid premium dengan pelancaran model baharu, BMW 530e iPerformance.

Kenderaan itu merupakan gabungan enjin pembakaran standard BMW dengan motor elektrik bagi kecekapan bahan api yang lebih baik, enjin yang lebih responsif dan pelepasan karbon rendah.

Ketua Jualannya, Raymond Tan berkata, dari segi bahagian model-campuran, 55 peratus model yang dijual di Malaysia merupakan kenderaan hibrid dengan teknologi eDrive.

"530e Sport Hybrid merupakan model kelima diperkenalkan sebagai sebahagian daripada produk BMW iPerformance.

"Produk iPerformance Hybrid BMW bagi Malaysia akan terdiri daripada 3series eDrive, X5 eDrive, 7series eDrive dan 5series eDrive," katanya pada pelancaran BMW 530e Sport Hybrid baharu di sini, pada Khamis.

Tan berkata pada 2017, BMW Malaysia menjual lebih 3,000 unit BMW X5 eDrive 40e Hybrid, 2,400 unit BMW 330e Hybrid, dan 450 unit BMW 740Le Hybrid.

"Kami berharap dapat meningkatkan portfolio kenderaan hibrid premium kami di sini. Ini akan membolehkan kami menawarkan portfolio hibrid terbesar di negara ini, menunjukkan lagi komitmen kami ke arah mobiliti berwawasan di Malaysia," katanya.

Syarikat itu juga menawarkan kepada pemilik model BMW iPerformance baharu akses percuma tanpa had bagi tempoh setahun bagi perkhidmatan mobiliti Charge Now menerusi platform ChargeEV di seluruh negara sebagai sebahagian daripada program Pemilikan Khas BMW.

Platform ChargeEV itu adalah poin mengecas bagi kenderaan elektrik dan hibrid, dan boleh didapati di stesen minyak dan gedung membeli belah.

BMW Group Malaysia memiliki rangkaian pengedar terdiri daripada 39 cawangan di bandar-bandar di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA