Bank Negara Malaysia (BNM) telah membantu 1,042 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah kewangan dengan pembiayaan bernilai RM1.3 bilion sejak 2005.

Pengarah Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Marina Abdul Kahar berkata, bantuan itu disalur melalui Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) BNM yang diperkenal pada 2005.

"Sebanyak 56 peratus daripada jumlah PKS yang dibantu telah mampu memulihkan perniagaan mereka dan 73 peratus telah berjaya menjelaskan hutang mereka sepenuhnya," katanya kepada pemberita di Karnival Kewangan BNM di sini, pada Sabtu.

Acara tiga hari yang bermula semalam itu bertindak sebagai platform sehenti yang menawarkan peluang unik kepada penduduk dan komuniti perniagaan dalam meningkatkan pengetahuan mengenai perkhidmatan kewangan, kecelikan pengurusan kewangan serta perlindungan pengguna yang ditawarkan industri itu.

Marina berkata, PKS yang terlibat dalam perkhidmatan dan pembuatan adalah dua sektor terbesar yang mendapat manfaat daripada SDRS.

Selain SDRS, katanya, platform permohonan pembiayaan PKS dalam talian dijangka dilancar menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan lagi akses PKS kepada pembiayaan.

"Platform itu membolehkan PKS menyerahkan permohonan secara serentak kepada pelbagai institusi kewangan berdasarkan kelayakan mereka.

"Mereka akan mendapat maklum balas segera mengenai permohonan itu melalui platform dalam talian berkenaan," katanya dengan menambah, 12 institusi kewangan dan kementerian telah menunjukkan sokongan kepada inisiatif ini.

Marina menggesa PKS agar memastikan pinjaman mereka diguna untuk tujuan perniagaan dan membuat pembayaran balik dengan segera.

"Mereka perlu selaraskan perniagaan mereka dengan persekitaran semasa seperti terlibat dalam trend mega automasi dan menerima pakai pembayaran digital bagi mengurangkan kos operasi," tambahnya.

-- BERNAMA