Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus tahun ini, selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk yang baharu iaitu ketidaktentuan mata wang dunia, menurut OCBC Bank.

Menurut kenyataan bank itu, walaupun ia terus menekankan pertambahan risiko ke bawah disebabkan ketidaktentuan global, namun peningkatan dalam beberapa petunjuk baru-baru ini, termasuk eksport telah memberi kelegaan kepada bank pusat.

"Keseluruhannya, dengan mengabungkan fakta bahawa BNM dilihat lebih selesa dengan prospek pertumbuhan dan juga lebih berhati-hati terhadap peningkatan inflasi tahun ini, kami yakin bahawa ia dijangka tidak membuat pelarasan kecil kepada kadar OPR dalam tempoh terdekat.

"Oleh itu, berkemungkinan OPR kekal tidak berubah pada 3.0 peratus bagi setahun penuh 2017 telah meningkat, melainkan pertumbuhan perdagangan global merosot sekali gus bank pusat akan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar itu semula," menurut OCBC.

Dari segi inflasi, bank itu berkata walaupun BNM berminat menekankan - secara tepat - asas inflasi teras akan kekal stabil pada 2017, ia tetap berkata bahawa, disebabkan harga minyak global yang tinggi, inflasi berkemungkinan meningkat berbanding 2.1 peratus pada 2016.

"Jangkaan kami ialah gabungan kesan pindahan daripada kelemahan mata wang dan harga minyak domestik yang tinggi, apatah lagi kesan asas yang tidak boleh dielakkan, akan meningkatkan inflasi kepada sekitar 2.7 peratus, hampir kepada akhir dua hingga tiga peratus yang dijangka oleh bank pusat," menurut bank itu. -- Bernama