KUALA LUMPUR:Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 1.75 peratus.

Dalam satu kenyataan media hari ini, bank pusat itu berkata ekonomi kebanyakan negara maju dan membangun dilihat semakin pulih, dimangkin oleh pemulihan sektor pembuatan dan aktiviti eksport.

Bagaimanapun, kemunculan gelombang baharu COVID-19 dijangka akan memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi dilihat semakin memulih pada suku ketiga tahun ini.

Walau bagaimanapun kata Bank Negara, Kawalan Pergerakan Diperketatkan semula di beberapa negeri dijangka memperlahankan pemulihan ekonomi negara pada suku keempat.

BNM turut menjangka ekonomi negara akan meneruskan trend pemulihan pada 2021, disokong oleh permintaan global yang pulih, serta peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta, dan peningkatan pengeluaran produk.

BNM bagaimanapun berkata, kadar pemulihan akan berbeza mengikut sektor.

Ia juga menjangka inflasi akan kekal pada paras negatif tahun ini, disumbang oleh harga minyak yang rendah.

Inflasi dijangka meningkat semula pada 2021, bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah dan komoditi di peringkat global.