Bank Negara Malaysia (BNM) memuktamadkan siasatannya terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) susulan pembayaran kompaun oleh syarikat itu, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bank pusat akan terus bekerjasama berhubung perkara-perkara berkaitan dengan 1MDB.

"Saya baca semalam 1MDB telah membayar kompaun, dan itu telah memuktamadkan siasatan dalam peraturan Bank Negara Malaysia dan undang-undang yang kami tadbir," katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia Ke-20, di sini.

Dilaporkan semalam 1MDB telah membuat pembayaran penuh bagi kompaun pentadbiran yang dikeluarkan BNM terhadap cabang pelaburan strategik negara itu kerana gagal mematuhi peraturan kewangan tempatan.

Ditanya sama ada BNM akan membuka semula siasatan terhadap 1MDB susulan prosiding jenayah oleh pihak berkuasa Switzerland ke atas BSI Bank Ltd berhubung dakwaaan pengubahan wang haram, Muhammad berkata terdapat undang-undang lain yang ditadbir oleh pihak berkuasa relevan.

Pada Selasa, pendakwa raya Switzerland mengumumkan siasatan jenayah telah dibuka terhadap satu daripada bank tertua negara itu, BSI, berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam prosiding jenayah berkaitan dengan urus niaganya dengan sebuah dana pembangunan Malaysia.

Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) juga memberi notis kepada BSI Bank untuk menarik balik statusnya sebagai bank saudagar atas pelanggaran serius syarat-syarat anti pengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi yang lemah dan salah laku oleh beberapa kakitangan bank itu.