Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus meningkatkan inisiatif celik kewangan bagi mempertingkatkan tahap kemahiran kewangan pengguna di Malaysia.

Gabenornya Datuk Muhammad Ibrahim berkata pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan untuk memperluaskan pembelajaran ilmu kewangan di peringkat sekolah dan universiti serta program-program pendidikan kewangan berimpak tinggi untuk golongan belia dan dewasa.

"Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya menegaskan kembali hasrat kami untuk terus membangunkan sebuah ekosistem kewangan yang inklusif, yang memastikan segenap lapisan masyarakat kita mendapat faedah daripada pelbagai produk, perkhidmatan dan nasihat kewangan yang berkualiti dan pada harga yang berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penutup Karnival Kewangan 2017, di sini, pada Ahad.

Muhammad berkata karnival berkenaan yang dianjurkan oleh BNM selama tiga hari bermula Jumaat telah menarik lebih 20,000 pengunjung daripada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah, suri rumah, orang kurang upaya, pelajar dan kanak-kanak sekolah, termasuk dari luar Lembah Klang.

Menurutnya, pengunjung karnival berkenaan telah mengambil peluang untuk mempelajari saluran perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh institusi dan agensi berkaitan.

Selain itu, katanya, lebih daripada 8,000 pengunjung turut mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat nasihat individu daripada BNM dan agensi kewangan lain termasuklah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Muhammad berkata lebih daripada 500 akaun simpanan juga telah dibuka dan lebih 500 permohononan pembiayaan berjumlah RM94 juta telah dibuat, termasuk daripada perusahaan kecil dah sederhana.

"Saya yakin semua pengunjung dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan yang diperoleh, terutamanya mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang bijak," katanya.

Sementara itu, katanya, golongan belia turut menyuarakan pelbagai pendapat di karnival berkenaan melalui pertandingan pidato antara universiti yang disertai 38 peserta daripada 16 universiti yang bertanding.

"Pelbagai pendapat yang bernas telah disuarakan oleh para pelajar ini mengenai isu pengurusan kewangan dan celik kewangan daripada perspektif golongan belia," ujarnya.

Menurutnya, para belia merupakan generasi yang akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat dan aspirasi negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

-- BERNAMA