Pesawat Boeing 737 MAX 8 melakukan penerbangan sulungnya semalam dalam misi melakukan ujian penerbangan komprehensif bagi tujuan pensijilan dan seterusnya penghantaran kepada pelanggan.

Dilengkapi enjin teknologi terbaharu LEAP-1B daripada CFM International dan sayap rekaan Boeing Advanced Technology, pesawat pertama kumpulan 737 MAX yang cekap bahan api itu, berjaya menyempurnakan penerbangan dua jam 47 minit selepas berlepas Renton, Washington dan mendarat di lapangan terbang Boeing di Seattle.

"Kami amat berbangga untuk memulakan ujian ke atas sebuah pesawat yang berteraskan cekap bahan api bagi pasaran pesawat satu lorong untuk para pelanggan kami," kata Presiden Pesawat Komersial dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Ray Conner dalam satu kenyataan.

Dalam penerbangan itu, ketua juruterbang 737 MAX, Ed Wilson dan Ketua Ujian Pesawat dan Naib Presiden Operasi Penerbangan Boeing, Craig Bomben melakukan perjalanan ke utara yang mencecah ketinggian 7,620 meter pada kelajuan 250 knot atau kira-kira 463 kilometer sejam mengikut turutan penerbangan pertama.

Menurut kenyataan itu, dengan tiga lagi pesawat dalam kumpulan Boeing 737Max 8 yang ketika ini dalam peringkat akhir pemasangan, membuktikan 737 MAX berada di landasan tepat bagi penghantaran pertama kepada syarikat penerbangan Southwest Airlines pada suku ketiga 2017.

Pesawat baharu 737 MAX 8 itu memiliki kelebihan kecekapan tenaga tertinggi, kebolehpercayaan serta keselesaan penumpang bagi pasaran pesawat satu lorong dengan penggunaan tenaga atau bahan api sebanyak 20 peratus lebih rendah berbanding kumpulan pertama 737 Next-Generation serta kos operasi sebanyak lapan peratus lebih rendah bagi setiap tempat duduk daripada A320neo.

737 MAX 8 juga adalah pesawat pertama dalam keumpulan terbaharu pesawat satu lorong Boeing yang mana 737 MAX 7, MAX 8, MAX 200 dan MAX 9 akan memulakan ujian penerbangan masing-masing.

Pesawat 737 MAX itu akan melanjutkan lagi kelebihan Next-Generation 737 dengan keupayaan untuk melakukan penerbangan melebihi 3,500 batu nautika (6,510 kilometer) iaitu mengatasi sebanyak 340 - 570 nmi (629-1,055 km) berbanding Next-Generation 737.

Kumpulan 737 MAX menerima sebanyak 3,072 pesanan daripada 62 pelanggan di serata dunia.