Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Dennis Muilenburg pada Isnin, mengumumkan Kevin G. McAllister sebagai Presiden dan CEO Boeing Commercial Airplanes.

Dalam satu kenyataan, Boeing berkata McAllister menggantikan Naib Pengerusi syarikat itu, Ray Conner.

Muilenburg juga melantik Stanley A. Deal sebagai Presiden dan CEO Boeing Global Services, sebuah unit perniagaan baharu yang dibentuk daripada kumpulan perkhidmatan pelanggan bagi unit perniagaan pesawat komersial serta pertahanan, ruang udara dan keselamatan.

McAllister menyertai Boeing dari GE Aviation. Deal pula ialah eksekutif veteran Boeing.

Conner, 61, akan terus berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Boeing sepanjang 2017.

Beliau akan bekerja rapat dengan McAllister dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi merapatkan hubungan dengan pelanggan, pembekal, masyarakat dan kerajaan, serta memastikan kesinambungan operasi dan sokongan pelanggan.

Conner juga akan melaksanakan pengawasan strategik dan panduan dalam peralihan syarikat kepada perniagaan perkhidmatan bersepadu tunggal dan terus terlibat dalam strategi pembangunan produk semasa di Commercial Airplanes.

"Berikutan persaraan Ray Conner semakin hampir, dan peluasan pasaran perkhidmatan global perlu diteruskan, pelantikan ini akan terus memperkukuh dan mengembangkan Boeing untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, pekerja, pemegang saham dan rakan usaha sama dalam tahun-ytahun mendatang," kata Muilenburg dalam satu kenyataan dari Chicago.

"Kami amat berterima kasih kepada Ray atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada Boeing selama hampir empat dekad, dan kami akan terus bergantung kepada pengalaman luas dan pandangan beliau dalam menyokong peralihan kepimpinan dan perniagaan yang sedang berjalan."

McAllister, 53, menyertai Boeing selepas 27 tahun bersma GE Aviation, sejak mula berkhidmat pada 2014 sebagai Presiden dan CEO GE Aviation Services.

Semasa bertugas sebagai Naib Presiden dan Pengurus Besar Jualan Global dan Pemasaran sejak 2008, beliau diktiraf atas kejayaan cemerlangan dalam pertumbuhan perniagaan GE membabitkan hampir $25 bilion.

"Kevin merupakan antara eksekutif kanan terbaik dan dipandang tinggi dalam industri, dan kami gembira atas kehadiran beliau menyertai Boeing dan pasukan padu Commercial Airplanes," kata Muilenburg.

"Dia seorang pemimpin yang tekun, dengan pengetahuan penerbangan komersial berdekad lamanya. Dia mahir mengenai Boeing, berkongsi nilai dan komitmen kami kepada orang ramai, dan memiliki pengalaman perniagaan dan operasi berorientasikan keputusan yang diperlukan untuk memimpin syarikat yang pesat berkembang ini."

Boeing Global Services akan menhimpunkan keupayaan teras sedia ada dalam Commercial Services Aviation dan Boeing Defense serta kumpulan Space & Security Global & Support.

Walaupun beberapa kumpulan sokongan pelanggan, pertahanan dan komersial akan kekal dalam dua unit perniagaan sedia ada, unit baharu akan menyediakan portfolio perkhidmatan yang lebih luas dan menggabungkan keupayaan pelbagai anak syarikat Boeing, termasuk Aviall dan Jeppesen.

Deal, 52, membawa bersamanya tiga dekad pengalaman aeroangkasa.

Sejak 2014, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan Komersial Boeing Aviation Services, melakar kejayaan tinggi berturut-turut.

Beliau sebelum itu bertugas sebagai Naib Presiden dan Pengurus Besar Pengurusan Rantaian Pembekalan dan Operasi Boeing Commercial Airplanes, yang bertanggungjawab bagi Pengurusan Bekalan, Fabrikasi, Sistem Pendorongan dan Kumpulan Kualiti.

Deal menyertai syarikat itu sebagai seorang jurutera program pesawat tentera C-17 selain memegang pelbagai jawatan kanan dalam jualan dan pemasaran.

"Stan merupakan seorang ketua yang berkebolehan dan berpengalaman, dan bersedia untuk mendorong perniagaan perkhidmatan bersepadu Boeing bagi mengembangkan penguasaan dalam pasaran perkhidmatan komersial dan pertahanan global bernilai kira-kira $2.5 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang," kata Muilenburg.

"Pertumbuhan perkhidmatan yang luas merupakan teras dalam strategi Boeing ketika melangkah ke abad kedua, dan langkah ini meupakan pemboleh utama dalam mempercepatkan lagi usaha selain meningkat nilai kepada pelanggan kami."

Deal akan segera memuktamadkan dan melaksanakan pelan terperinci untuk menstruktur dan menyusun perniagaan baharu selain memastikan semua komitmen pelanggan dalam jangkaterdekat dipenuhi dan memaksimumkan nilainya dalam jangka panjang.

Beliau akan bekerjasama rapat dengan Naib Pengerusi Conner dan Presiden Defence, Space & Security dan CEO Leanne Caret dalam tempoh peralihan itu.

Boeing Global Services dijadualkan memulakan operasi sepenuhnya sebagai unit perniagaan ketiga utama pada suku ketiga 2017, dengan kumpulan teras kecil di ibu pejabat yang berpangkalan di Dallas, tempat Aviall bertugas.

Walaupun butiran perniagaan dan tugasan kepimpinan tambahan akan dibuat pada masa akan datang, sebahagian besar kerja yang dilakukan oleh Boeing Global Services, dijangka kekal di lokasi sedia ada.

Deal dan McAllister menyertai Caret sebagai ketua unit perniagaan dan melapor terus kepada Muilenburg. Mereka juga menjadi ahli Majlis Eksekutif syarikat. Pelantikan mereka berkuat kuasa pada Isnin 21 Nov. - BERNAMA