Boon Siew Honda menyasarkan untuk menjadi jenama terkemuka industri motosikal di Malaysia dan membentuk penanda aras bagi setiap segmen motosikal melalui produk ditawarkan dan kedudukan jenama yang kukuh.

Ia akan dipacu oleh momentum yang dijana daripada prestasi jualan memberangsangkan pada 2018, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda.

Boon Siew Honda merekodkan prestasi jualan kira-kira 156,000 unit tahun lepas. Jumlah jualan meningkat 28.7 peratus daripada 121,000 unit yang dijual tahun lepas di Malaysia.

Prestasi yang baik ini menjadikan pegangan pasaran berkembang daripada 26 peratus pada 2017 kepada 30 peratus tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan.

Bagi memenuhi spektrum yang luas untuk kepelbagaian dan gaya hidup - daripada untuk kegunaan harian kepada santai dan premium - Boon Siew Honda mengukuhkan produk Cub, Transmisi Automatik, Motosikal Santai dan Motosikal Besar dengan memperkenalkan 12 model baharu selain tiga model yang dipertingkatkan pada 2018.

"Sebagai tambahan, Boon Siew Honda melancarkan ruang pameran Honda BigWing dan Honda Impian X yang menawarkan pengalaman menarik kepada pelanggan," katanya.

Tahun lepas, model RS150R dan Wave Alpha adalah penyumbang terbesar kepada jumlah jualan Boon Siew Honda dengan masing-masing 43,948 unit dan 36,895 unit dijual.

Wilayah tengah adalah penyumbang terbesar kepada jumlah jualan Boon Siew Honda sebanyak 55,263 atau 35.4 peratus, diikuti wilayah utara dengan 40,903 unit dijual atau 26.2 peratus.

Untuk 2019 katanya, Boon Siew Honda akan lebih agresif dalam strateginya untuk meningkatkan jenamanya di Malaysia.

Bagi mencapai sasaran menjadi jenama terkemuka di Malaysia, syarikat berkenaan akan menumpukan kepada peningkatan jenama, memperbaiki rangkaian pengedar, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan, mengembangkan keselamatan menunggang selain membangunkan pelumba tempatan dan sukan permotoran, kata Yasuda.

-- BERNAMA