Boon Siew Honda Sdn Bhd memperkenalkan tiga model motosikal baharu – PCX Hybrid, Forza dan CBR1000RR Fireblade – untuk pasaran Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Keiichi Yasuda berkata, PCX Hybrid ditawarkan untuk pembelian bermula esok manakala dua lagi model dijangka berada dalam pasaran menjelang akhir tahun.

"Kami akan membawakan 100 unit awal masing-masing bagi PCX Hybrid dan Forza, dan 20 unit CBR1000RR Fireblade.

"Kami mahu mengkaji permintaan pasaran," katanya kepada Bernama selepas pelancaran motosikal baharu itu di sini, hari ini.

PCX Hybrid ialah model premium transmisi automatik, diintegrasikan dengan kuasa pintar dipertingkat yang mengoptimumkan kecekapan bahan bakar dan pada masa yang sama menawarkan prestasi tinggi.

CBR1000RR Fireblade pula dilengkapi teknologi terkini Honda seperti pilihan brek enjin, pilihan tuil penukar gear pada kadar cepat dan peredam kemudi elektronik Honda untuk memberikan tunggangan luar biasa dan kelancaran pengemudian.

Harga runcit PCX Hybrid adalah RM13,499, Forza (RM30,999) dan CBR1000RR Fireblade (RM91,999).

Dengan penampilan tiga model terbaru itu, Boon Siew Honda telah memperkenalkan 12 model baharu setakat ini pada tahun ini. -- Bernama