British Airways (BA) dilaporkan terpaksa menjual beberapa koleksi seni bernilai jutaan pound untuk mengumpulkan dana bagi membantu syarikat mengharungi krisis yang dicetuskan wabak COVID-19, lapor agensi berita Jordan (Petra) pada Khamis.

Syarikat itu berkata koleksi berkenaan merangkumi karya seni Damien Hirst, Bridget Riley dan Peter Doig, satu daripadanya dipercayai bernilai lebih US$1 juta.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 karya seni sudah dijual.

BA turut terkesan dengan penurunan jumlah penerbangan dan dijangka mengurangkan ribuan pekerjaan.

Minggu lalu, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif BA Alex Cruz berkata syarikat mengalami kekurangan aliran tunai dan masalah mungkin dapat diselesaikan dengan melaksanakan penstrukturan semula perniagaan.

Akhbar London Evening Standard, melaporkan penjualan karya seni itu dikendalikan oleh syarikat lelong, Sotheby's.

-- BERNAMA