Ketua eksekutif baharu BSI Bank Ltd (BSI Bank) hari ini tegas mengatakan bahawa pihak pengurusannya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengubahan wang haram secara besar-besaran di Malaysia.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Roberto Isolani, yang mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berikutan peletakan jawatan Stefano Coduri pada Selasa, tuduhan tersebut bertarikh tiga hingga empat tahun lepas, dan 'sudah pun berlalu'.

"Tiada bukti yang mengatakan pihak pengurusan ataupun ahli lembaga pengarah yang baharu, terlibat dalam kes ini," katanya kepada akhbar Switzerland, Corriere del Ticino.

Selasa lalu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) telah memberi notis kepada BSI Bank mengenai hasrat untuk menarik balik statusnya sebagai bank saudagar dan diarah tutup, lapor Bernama.

Menurut AFP, bank itu turut diarah tutup kerana dikaitkan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

MAS selain itu, telah merujuk enam nama daripada pengurusan kanan dan kakitangan BSI Bank kepada Pendakwa Raya untuk menilai sama ada mereka telah melakukan kesalahan jenayah.

BSI Bank telah beroperasi sebagai bank saudagar di Singapura sejak November 2005 di mana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta.

Ia adalah anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland.