Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan Datuk Yunos Abd Ghani sebagai Ketua Eksekutif baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2017.

Yunos mempunyai pengalaman selama 30 tahun di dalam industri perbankan dan sepanjang tempoh tersebut, pengalaman beliau merangkumi pelbagai aspek operasi perbankan termasuk perbankan antarabangsa dan Islamik, menurut BSN dalam satu kenyataan.

Di BSN dan sebelum pelantikan beliau sebagai Ketua Eksekutif, Yunos memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif, Sokongan Perniagaan.

Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Eastern Michigan University, USA pada 1985 dan merupakan anggota Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

"Berdasarkan kepada pengalaman luas beliau di dalam sektor perbankan dan dibantu pula oleh Pengurusan Kanan sedia ada, pihak Lembaga Pengarah yakin dan percaya bahawa beliau mampu memimpin BSN dan seterusnya dapat memperkemaskan struktur organisasi bagi mempertingkatkan strategi perniagaan agar penjanaan secara berterusan pendapatan yang mampan tercapai," kata Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Pengerusi BSN dalam kenyataan itu.

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Adinan Maning (Ketua Eksekutif sebelum ini) di atas segala sumbangan yang diberikan dalam memacu kecemerlangan BSN sehingga menjadikan BSN disegani dan mampu bersaing dengan institusi perbankan lain," ujar beliau lagi.

-- BERNAMA