Pengguna disaran membuat laporan kepada Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) sekiranya pengurup wang berlesen dengan sengaja enggan menjual matawang Pound.

Ketua Pegawai Eksekutif MAMSB Shalini Pavithran berkata meskipun pengurup wang mungkin berdepan kekurangan bekalan harian, namun mereka harus meminta nilai yang ingin ditukar oleh pengguna dan mendapatkan stok dari pembekal wang tanpa menolak permintaan pengguna.




“Situasinya, jika mereka tidak mempunyai stok (Pound), mereka (pengurup wang) boleh menempah pound berdasarkan permintaan.

“Jika pengguna mempunyai kes (pengurup wang enggan menjual) mereka dinasihatkan membuat aduan kepada MAMSB kerana mereka tidak sepatutnya berdepan isu tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pound mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia yang berlumba lumba menukar mata wang tersebut susulan kejatuhan nilai pound pasca undian keluar United Kingdom (UK) dari Kesatuan Eropah (EU).

Dalam pada itu Shalini menasihatkan pengguna melakukan perbandingan kadar tukaran di setiap pengurup wang bagi memastikan mereka menikmati nilai kompetitif.

“Buat perbandingan, apa yang anda lihat dalam talian (kadar tukaran) adalah kadar tukaran antara bank, ia dipanggil kadar tukaran kasar.

“Ini kerana wujud kos. Untuk memproses matawang wujud kos, jadi kami cuba membawa kepada kadar yang sama, namun kami harus mengambil kira beberapa faktor seperti contoh, jika anda lihat tukaran hari ini, mereka (pengurup wang) mendapatkan bekalan dari pemborong.

“Harga yang dijual oleh pemborong kepada pengurup wang mempunyai kesan terhadap nilai yang ditawarkan kepada pengguna.

“Kita ada kos pemborong, kos operasi, kerana wujud kos pemprosesan, kerana ia tidak melibatkan yuran berbeza, kadar tukaran merangkumi semua kos,” katanya sambil menambah permintaan yang meningkat mendadak turut mempengaruhi kadar tukaran yang ditawar oleh pengurup wang.

Beliau pada masa sama berkata bekalan pound masih mencukupi untuk menampung permintaan mendadak rakyat Malaysia terhadap mata wang Britain itu.

“Kami akan pastikan wujud bekalan mencukupi. Kami mempunyai syarikat pemborong yang membekalkan kepada pengurup wang. Mereka (pemborong) membekalkan wang cukup untuk pastikan memenuhi permintaan.

"Kadar asyik berubah, jadi untuk membawa masuk terlalu banyak juga tidak boleh, kerana kami mahu pastikan kadar yang ditawarkan kompetitif,” katanya.

Shalini berkata sukar untuk menjangkakan kedudukan nilai Pound sama ada akan terus menyusut atau sebaliknya memandangkan situasi masih tidak menentu dalam pasaran.

Ketika ini, katanya pengurup wang secara purata menjual Pound pada sekitar RM5.60 berbanding RM6 pada awal Jun lalu.