Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pagi ini dengan dagangan berhati-hati menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.45 mata kepada 1,837.7 daripada 1,837.01 pada Jumaat lepas, selepas dibuka tinggi 0.67 mata kepada 1,837.68.

Menyumbang 1.007 mata, kenaikan dalam Petronas Chemicals membantu meningkatkan indeks utama kepada positif. Saham tersebut naik tujuh sen kepada RM8.27.

Bagaimanapun, di pasaran lebih luas kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 148 berbanding 92, manakala 139 kaunter tidak berubah, 1,490 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 80.17 juta unit bernilai RM31.51 juta.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Mengikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Langkah seterusnya adalah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRU14.

Dalam nota, MaybankIB Research berkata ekuiti Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati menjelang hari pengundian, dengan ketidaktentuan di peringkat luaran susulan daripada ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Kami menjangka pasaran diniagakan secara berhati-hati menjelang hari pengundian berikutan ketidakpastian berhubung keputusan PRU14.

"Selain itu, ketidaktentuan di peringkat luaran susulan daripada ketegangan perdagangan AS-China menambah kepada risiko bagi kedudukan jangka panjang menjelang hari pengundian," menurut firma penyelidikan itu.

Katanya sektor yang tidak terlibat dalam politik termasuklah pengguna, penjagaan kesihatan, syarikat penerbangan, perkapalan dan pelabuhan, sarung tangan, teknologi (NT), petrokimia (NT), dan M-REIT (NT).

"Kami mengekalkan sasaran KLCI kami bagi akhir 2018 pada 1,880 buat masa ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga naik lapan sen kepada RM15.82, Public Bank meningkat dua sen kepada RM23.96, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.05.

Maybank susut dua sen kepada RM10.46 dan CIMB turun tiga sen kepada RM7.03.

Indeks FBM Emas berkurangan 2.74 mata kepada 12,773.52, Indeks FBMT 100 jatuh 0.62 mata kepada 12,620.28, FBM 70 susut 13.75 mata kepada 15,154.16 dan FBM Ace merosot 11.95 mata kepada 5,027.7.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah menambah 4.68 mata kepada 12,898.39.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 2.95 mata kepada 17,965.97, Indeks Perladangan susut 19.34 mata kepada 7,897.41, bagaimanapun Indeks Perusahaan naik 5.33 mata kepada 3,203.83.

-- BERNAMA