Bursa Malaysia dibuka dalam sentimen lebih positif hari ini, menjejaki prestasi saham-saham Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang meningkat pada Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.66-mata kepada 1,780.75 daripada 1,780.09 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.67 mata lebih kukuh kepada 1,781.76.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 132 berbanding 73 dengan 188 kaunter tidak berubah, 1,501 tidak didagangkan manakala 31 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 103.17 juta unit bernilai RM43.96 juta.

Sementara itu, menerusi satu nota penyelidikan hari ini, Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata bursa tempatan menjejaki prestasi positif kedua-dua pasaran saham AS dan Eropah berikutan kejatuhan hasil Perbendaharaan AS pada akhir minggu lalu yang dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan AS-China, serta siri mesyuarat bank-bank pusat di seluruh dunia.

Dalam pada itu, seorang peniaga lain pula menyifatkan pelantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd yang baharu serta Tunku Alizakri Alias sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, juga ternyata meningkatkan keyakinan terhadap pasaran saham tempatan.

Selain itu, katanya, indeks harga pengeluar yang lebih tinggi bagi pengeluaran tempatan pada Jun lepas, selain pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini turut dilihat mengembalikan semula wang kepada rakyat, turut membantu memacu sentimen pelabur.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat empat sen kepada RM24.20 dan RM9.07 manakala Maybank susut satu sen kepada RM9.82.

Tenaga, CIMB dan IHH Healthcare sebaliknya masing-masing tidak berubah pada RM15.42, RM5.79 dan RM5.90.

Kaunter aktif pula menyaksikan Pegasus Heights dan Vizione tidak berubah iaitu masing-masing pada tiga sen dan 13.5 sen manakala Frontken meningkat 2.5 sen kepada 58.5 sen, Borneo Oil naik setengah sen kepada enam sen dan KPS untung dua sen kepada RM1.92.

Saham paling untung pula menyaksikan MAHB naik 18 sen kepada RM9.98, BP Plastics meningkat 14 sen kepada RM1.16, SLP menokok sembilan sen kepada RM1.21 manakala UMW dan Serba Dinamil naik tujuh sen kepada RM6.05 dan RM3.95.

Indeks FBM Emas menambah 2.53 mata kepada 12,603.02 dan Indeks FBMT 100 menambah 0.81 mata kepada 12,388.46.

Indeks FBM Emas Shariah bagaimanapun merosot 1.01 mata kepada 12,743.45, FBM 70 turun 12.95 mata kepada 15,449.42 dan Indeks FBM Ace susut 13.88 mata kepada 5,432.16.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 20 mata kepada 7,643.39 namun Indeks Kewangan susut 6.85 mata kepada 17,433.61 manakala Indeks Perusahaan turun 9.52 mata pada 3,266.60.

-- BERNAMA