Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini menjejaki aliran serantau dan dengan perang perdagangan AS-China yang reda untuk sementara.

Pada 9.20 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.00 mata kepada 1,732.28 daripada 1,737.28 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 3.39 mata kepada 1,733.89.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 152 berbanding 144, manakala 221 kaunter tidak berubah, 1,394 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 262.63 juta unit bernilai RM123.71 juta.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata Nasdaq mencecah paras tertinggi baharu disokong oleh gabungan kesan Goldilocks dan pendapatan.

"Selain itu, perang perdagangan yang semakin berkurangan telah memberi ruang kepada pelabur untuk menumpukan kepada pendapatan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, meningkat satu sen kepada RM9.59, Public Bank merosot 40 sen kepada RM23.20, Tenaga berkurangan empat sen kepada RM14.74, manakala Petronas Chemicals dan CIMB, masing-masing susut satu sen kepada RM8.79 dan RM5.66.

Antara saham aktif, Revenue Group Bhd, yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, meningkat 15.5 sen kepada 52.5 sen selepas dibuka pada 55 sen dengan 37 sen harga rujukan dan 54,520,500 saham bertukar tangan pada 9.20 pagi.

Saham aktif lain termasuklah Priceworth dan FoundPac, masing-masing menambah 1.5 sen kepada sembilan sen dan 35.5 sen.

DanaInfra Nasional merupakan kaunter paling untung pada sesi pembukaan apabila naik 90 sen kepada RM101.50, manakala Nestle dalam senarai kaunter paling rugi, susut RM1.10 kepada RM147.00.

Indeks FBM Emas merosot 27.58 mata kepada 12,232.38, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.09 mata kepada 12,034.79, dan FBM 70 jatuh 9.92 mata kepada 14,946.89.

Indeks FBM Emas Shariah turun 15.13 mata kepada 12,334.63, bagaimanapun, Indeks FBM Ace naik 30.12 mata kepada 5,366.78.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 61.81 mata kepada 17,072.2, Indeks Perusahaan susut 12.17 mata kepada 3,187.56. Bagaimanapun, Indeks Perladangan naik 8.23 mata kepada 7,455.73. -- Bernama