Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dan prestasi bercampur-campur bursa serantau menjejaskan bursa tempatan walaupun kenaikan semalaman dicatatkan Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 7.13 mata lebih rendah pada 1,597.17 berbanding 1,604.30 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 4.73 mata lebih rendah pada 1,599.57.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 110 berbanding 103 dengan 144 kaunter tidak berubah, 1,614 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 122.47 juta unit bernilai RM36.21 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata keadaan keseluruhan pasaran masih berhati-hati, terjejas oleh kekurangan pemangkin baharu daripada sumber tempatan dan asing memandangkan peserta pasaran sedang menunggu perkembangan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang sedang berlangsung sama ada akan menurunkan lagi kadar faedah AS.

"Oleh itu, kami masih berpendapat keadaan pasaran bercampur-campur akan berlaku dan ini akan menyaksikan indeks utama meningkat sedikit," katanya sambil menambah paras sokongan jangka terdekat dijangka pada 1,600 dan 1,590, manakala paras ketahanan masing-masing pada 1,610 dan 1,620''.

Firma penyelidikan itu berkata kedudukan saham barisan rendah dan saham pasaran secara meluas juga kekal tidak sekata kebelakangan ini dan dengan adanya beberapa pemangkin baharu, mungkin akan berada pada aliran jajaran kecil berikutan kurangnya minat baharu untuk belian.

Antara yang paling rugi ialah Hong Leong Financial Group yang menguncup 14 sen kepada RM16.36.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata masing-masing tidak berubah pada RM8.65 dan RM4.27, Public Bank jatuh dua sen kepada RM20.14, TNB susut empat sen kepada RM13.58, Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM7.66 manakala Nestle naik 40 sen kepada RM147.40.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 33.77 mata kepada 11,287.92, Indeks FBMT 100 merosot 37.79 mata pada 11,117.44 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 6.41 mata kepada 11,857.35.

FBM Ace naik 6.65 mata kepada 4,539.62 dan FBM 70 menokok 1.65 mata kepada 13,981.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 148.27 mata kepada 15,407.05 dan Indeks Perladangan merosot 7.69 mata kepada 6,826.50 manakala Produk dan Perkhidmatan Industri jatuh 0.70 mata kepada 154.44.

-- BERNAMA