Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan sentimen lemah dan kurang minat belian, kata para peniaga.

Pada 9.20 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,821.74, turun 1.18 mata daripada 1,822.92 pada sesi penutup semalam dan selepas dibuka 0.9 mata lebih rendah pada 1,822.02.

Seorang peniaga berkata peserta pasaran tidak bersedia untuk membeli secara agresif berikutan risiko tinggi sekarang dan kurang ganjaran selepas mencatatkan 107 mata keuntungan dalam 13 hari pasaran, diukur daripada paras rendah 1,732 pada 19 Dis tahun lepas dan paras tinggi 1,840.35 pada 9 Jan tahun ini.

"Analisis keseluruhan tindakan pasaran semalam mendedahkan kuasa beli lebih lemah berbanding tekanan jualan dan justeru itu, FBM KLCI dijangka diniagakan di bawah paras 1,821.27 pada Khamis," katanya.

Keseluruhan suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 226 berbanding 199, 286 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 515.14 juta saham bernilai RM186.33 juta.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM9.48, RM20.84, RM8.11 dan RM6.74, manakala TNB susut dua sen kepada RM15.84.

Dalam kalangan kaunter cergas, MWAG dan Fintec menokok satu sen setiap satu masing-masing kepada 22 sen dan 17 sen, manakala Sapura Energy susut 1.5 sen kepada 89 sen.

UMW OG dan PUC tidak berubah masing-masing pada 41 sen dan 32 sen.

Saham HLT Global akan digantung sepanjang hari dagangan hari ini bagi membolehkan syarikat itu membuat satu pengumuman penting.

Indeks FBM Emas turun 7.17 mata kepada 13,222.7, Indeks FBMT 100 susut 7.7 mata kepada 12,858.43 dan FBM 70 jatuh 7.859 mata kepada 16,629.64.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 9.65 mata kepada 13,723.5 dan FBM Ace turun 9.21 mata kepada 7,031.82.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 26.01 mata kepada 17,148.29 dan Indeks Perladangan naik 1.92 mata kepada 8,099.92, manakala Indeks Perusahaan turun 3.44 mata kepada 3,397.14.

-- BERNAMA