Bursa Malaysia ditutup tinggi dalam keadaan pasaran serantau turut mencatatkan prestasi baik kebanyakannya susulan perjanjian baru di antara pegawai Amerika Syarikat (AS) dengan China untuk melaksanakan perjanjian perdagangan fasa satu.

Pada penutupan, indeks utama meningkat 5.38 mata atau 0.39 peratus kepada 1,382.31 daripada 1,376.93 ketika ditutup pada Rabu.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 5.19 mata lebih tinggi kepada 1,382.12 dan bergerak di antara 1,382.02 dengan 1,392.23 sepanjang dagangan hari ini.

Pasaran ditutup pada Khamis susulan cuti umum sempena Hari Wesak.

Bagi pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 540 berbanding 340 manakala 397 kaunter tidak berubah, 598 kaunter tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.68 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 5.89 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata walapun pasaran tidak begitu terkesan dengan perkembangan kemelut terkini AS-China, namun tahap berhati-hati masih kekal sehingga Presiden Donald Trump memberi isyarat semua kesukaran akan berakhir dengan beberapa tahap trafik tidak akan dikenakan semula ke atas China.

"Sementara itu, tindakan saling menunding jari mengenai lokasi asal bermulanya wabak COVID-19 dijangka berterusan buat sementara waktu," katanya kepada Bernama.

Indeks Straits Times Singapura turun 0.13 peratus kepada 2,589.59, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 2.56 peratus kepada 20,179.09 dan Nikkei 225 Jepun meningkat 1.04 peratus kepada 24,230.17.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, TNB melonjak 18 sen kepada RM12.34 manakala Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing naik satu sen pada RM5.48 dan RM5.27, Axiata menokok dua sen kepada RM3.89, MISC menambah 13 sen kepada RM7.90 dan CIMB naik tiga sen kepada RM3.44.

Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM7.41 dan RM15.74, sementara IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM5.16 dan Digi susut dua sen kepada RM4.48.

Bagi saham aktif, Careplus menambah enam sen kepada 59 sen, Advance Synergy naik 1.5 sen kepada 13.5 sen, MTAG meningkat empat sen kepada 46.5 sen, Key Asic naik satu sen kepada 10 sen, Ageson dan Sanichi Technology masing-masing menokok setengah sen kepada 17.5 sen dan lima sen, dan Key Alliance tidak berubah pada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 52.25 mata kepada 9,735.91, Indeks FBMT 100 menokok 49.54 mata kepada 9,586.51, Indeks FBM Emas Syariah menambah 62.51 mata kepada 10,846.45, FBM ACE naik 93.75 mata kepada 5,021.41 dan FBM 70 melonjak 111.38 kepada 11,899.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 54.69 mata kepada 12,285.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.20 mata kepada 120.64, sementara Indeks Perladangan turun 38.86 mata kepada 6.239.67.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 2.96 bilion saham bernilai RM2.30 bilion daripada 4.02 bilion saham bernilai RM2.47 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 298.71 juta bernilai RM55.57 juta daripada 391.71 juta bernilai 70.11 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.42 bilion saham bernilai RM382.44 juta daripada 1.47 bilion saham bernilai RM256.44 juta pada Rabu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 529.27 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (471.50 juta), pembinaan (310.32 juta), teknologi (453.29 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.30 juta), hartanah ( 232.99 juta), perladangan (129.25 juta), REIT (8.49 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (337.0 bilion), penjagaan kesihatan (67.10 juta), telekomunikasi dan media (187.69 juta), pengangkutan dan logistik (120.82 juta) serta utiliti (58.91 juta).

Pasaran akan ditutup pada Isnin bagi cuti umum gantian sempena Nuzul Al-Quran pada Ahad.

-- BERNAMA