Bursa Malaysia meningkat semula semasa dagangan dibuka pagi ini susulan minat belian selepas mencatat penurunan selama tiga hari berturut-turut.

Pada 9.20 pagi Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,823.62, naik 6.74 mata daripada 1,816.88 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 8.13 mata lebih tinggi kepada 1,825.01 pagi Jumaat.

Peniaga berkata, pusingan dagangan spekulatif ke atas saham harga rendah dan Pasaran ACE sewajarnya terus menumpukan dagangan aktif.

“Paras sokongan penting adalah pada 1,807, susut kepada pergerakan purata selama 10 hari, manakala 1,796 adalah paras bagi pergerakan harga pasaran dapat melepasi paras sokongan atau rintangan dengan jumlah yang besar, di samping rintangan segera bagi indeks itu kekal pada paras tertinggi yang dicatat Selasa, 1,840 diikuti 1,867, iaitu paras tertinggi pada April 2017,” katanya.

Lingkungan pasaran keseluruhannya positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 363 berbanding 113, manakala 228 kaunter tidak berubah, 1,110 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 393.44 juta saham bernilai RM187.11 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.84 manakala TNB kurang dua sen kepada RM15.80.

Public Bank meningkat 10 sen kepada RM20.9 manakala Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing naik lima sen kepada RM8.12 dan RM6.80.

Bagi saham aktif, Sapura Energy meningkat 2.5 sen kepada 89.5 sen, UMW OG naik 1.5 sen kepada 42 sen, Hubline dan PUC masing-masing menokok setengah sen kepada 15 sen dan 31.5 sen dan Matang bertambah satu sen kepada 11.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 56.93 mata kepada 13,212.63, Indeks FBMT 100 menokok 53.34 mata kepada 12,853.76 dan FBM 70 melonjak 88.25 mata kepada 16,563.61.

Indeks FBM Emas Syariah berkembang 59.021 mata kepada 13,700.58 dan FBM Ace meningkat 76.97 mata kepada 6,942.17.

-- BERNAMA