Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini kerana kelemahan ringgit dan harga minyak mentah telah menjejaskan sentimen.

Dalam nota hari ini, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata prestasi negatif bursa tempatan juga disebabkan oleh jualan semalaman di pasaran Amerika Syarikat.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.95 mata kepada 1,685.19 dari 1,696.14 ketika ditutup semalam, selepas dibuka 9.48 mata lebih rendah pada 1,686.66 hari ini.

Lingkungan pasaran adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 303 berbanding 39, manakala 118 kaunter tidak berubah, 1,422 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 140.65 juta unit bernilai RM66.18 juta.

Ringgit masih tidak memperolehi asas pergerakan sejak kerajaan mengumumkan defisit fiskal yang lebih besar dalam Belanjawan 2019, manakala niaga hadapan minyak sawit mentah didagangkan pada harga terendah dalam tempoh tiga tahun semalam berikutan paras bekalan yang tinggi pada Oktober.

Bagi Bursa Malaysia dari sudut teknikal, Maybank IB menjangkakan FBM KLCI bergerak antara 1,660 dan 1,700 hari ini, manakala paras sokongan menurun berada pada 1,680 dan 1,658.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun tujuh sen kepada RM9.13, Public Bank susut 22 sen kepada RM24.46, Tenaga kurang 14 sen pada RM14.70, Petronas Chemicals jatuh dua sen kepada RM9.55 dan CIMB merosot lima sen kepada RM5.46.

Bagi saham aktif, Securemetric naik 27.5 sen kepada 52.5 sen, manakala Sapura Energy berkurangan 1.5 sen kepada 36.5 sen, Hibiscus turun tiga sen kepada RM1.09, Sino Hua-An susut 2.5 sen kepada 22.5 sen dan Iris menguncup setengah sen kepada 15 sen.

Heineken mendahului senarai rugi dengan merosot 56 sen kepada RM19.20, diikuti KESM susut 40 sen kepada RM10.34, Carlsberg jatuh 36 sen kepada RM19.08, MPI kurang 16 sen kepada RM12.24 dan United Plantations turun 12 sen kepada RM26.88.

Indeks FBM Emas turun 81.83 mata kepada 11,677.20, Indeks FBMT 100 susut 78.28 mata kepada 11,519.47 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 85.99 mata kepada 11,834.80.

FBM 70 merosot 105.70 mata kepada 13,600.03 dan Indeks FBM Ace pula 55.31 mata lebih rendah kepada 4,903.62.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 104.27 mata kepada 16,966.69, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.67 mata kepada 172.31 dan Indeks Perladangan kurang 29.28 mata kepada 7,288.96.

-- BERNAMA