Cabaran Dewan Perdagangan Islam Malaysia dalam naratif Malaysia Baharu

Cabaran Dewan Perdagangan Islam Malaysia dalam naratif Malaysia Baharu
Dewan Perdagangan yakin bahawa usaha memangkinkan ekonomi melalui masyarakat yang dikenali sebagai ummatic economy akan menjadi kuasa ketiga dalam membantu membina negara. - Gambar hiasan
DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah menjangkau usia 26 tahun sejak penubuhannya. Dengan usia lebih suku abad, DPIM terus berusaha menjadi payung dan penggerak buat usahawan muslim di seluruh negara.

Pada Disember 2018 dalam semangat Malaysia Baharu, DPIM telah menjalankan proses demokrasi memilih pimpinan baru untuk sesi 2018-2021.

Alhamdulilah ... perwakilan DPIM dengan matang memilih barisan kepimpinan tertinggi untuk membawa aspirasi dan harapan ahli ahli DPIM untuk 3 tahun akan datang berbekal semangat ‘sepakat kita kuat, berpecah kita rebah’.

Objektif DPIM adalah untuk kekal relevan dan menjadi sebahagian penggerak ekonomi Malaysia. Dalam suasana ekonomi global yang berpaksikan sistem kapitalis dan seluruh dunia telah bergerak ke arah revolusi Industri 4.0 bersama cabaran ekonomi digital, DPIM perlu terus menjadi platform kepada usahawan muslim menjalankan perniagaan dengan meletakkan asas perjuangan jihad bisnes mereka berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebulan telah berlalu, DPIM kembali berpijak di bumi.

Nyata harapan dan aspirasi ahli-ahli dewan perdagangan kepada kerajaan Malaysia Baru tidak semua indah belaka.

Cabaran DPIM adalah untuk memastikan harapan ahli-ahli dewan perdagangan dapat diterjemahkan selari dengan kerangka pelan tindakan usahawan kebangsaaan yang telah digariskan oleh Kementerian. Hakikatnya tidak semua dapat diterjemah semudah A,B,C!

Mengambil tanggungjawab itu maka kepimpinan DPIM mengambil inisiatif segera bergerak dari negeri ke negeri untuk menyelami sendiri cabaran usahawan muslim untuk kekal relevan dalam naratif Malaysia Baharu.
Dapatan yang ditemukan mengejutkan! Usahawan DPIM di peringkat negeri sebahagian besar adalah usahawan PKS dan mereka mengutarakan pelbagai permasalahan berurusan dengan agensi-agensi di kementerian.

Dari isu agensi kementerian yang bergerak secara ‘silo’ sehinggalah kes agensi kementerian yang turut bersaing dengan usahawan dalam menjalankan perniagaan dan memperolehi tender.

Ini dilakukan atas sebab memenuhi KPI agensi masing-masing.

Permasalahan ini seolah-olah telah menjadi budaya yang terus berakar umbi dalam sistem kerajaan dan ianya wajar dinyahbuang segera. Agensi kementerian seharusnya membuka ruang kerjasama seluas-luasnya antara agensi agar sesuatu inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada lebih ramai usahawan.

Pada masa yang sama usahawan PKS juga harus bersedia untuk bergerak tanpa bantuan kerajaan malah berani kehadapan dengan mengutarakan idea-idea innovatif yang dapat merancakkan lagi ekonomi Malaysia.

Di sini Dewan Perdagangan berperanan untuk menjadi agen pemudahcara dan jambatan antara usahawan dan agensi kementerian supaya isu-isu berbangkit dapat diselesaikan secara bersama dan kolektif.

Cabaran Dewan Perdagangan seterusnya adalah untuk meyakinkan Kerajaan melalui agensi-agensinya, bahawa melalui saluran yang betul, pelbagai usaha ekonomi dapat direalisasikan. Melihat dari perspektif keusahawanan memberi kelebihan kepada dewan perdagangan untuk menyarankan idea keusahawanan yang lebih efektif.

Dalam suasana Malaysia baru, agenda agensi kerajaan haruslah lebih pro-bisnes dan membuka ruang perniagaan kepada seluruh lapisan.

Mengambil contoh negara jiran, Thailand, semangat keusahawanan wujud dari serendah-rendah taraf kehidupan. Ini bermakna sekiranya Kerajaan perlu memberi lebih kelonggaran dalam sesetengah
undang-undang dan peraturan yang melibatkan perniagaan, maka Dewan Perdagangan akan kehadapan untuk mendesak ianya dilaksanakan.

Dengan kata lain, telah tiba masanya dalam naratif Malaysia baru ini, perlindungan kepada sesetengah
bisnes hanya kerana keperluan undi Pilihanraya dihapus serta merta.

Usahawan harus bersedia untuk bersaing dalam pasaran terbuka walaupun di padang yang tidak rata.

DPIM akan memastikan dalam apa jua keadaan agenda besar ekonomi Islam tetap dipertahankan dan menjadi sebahagian daripada model ekonomi dalam kerajaan Malaysia Baharu.

Industri halal terus menjadi sektor penyumbang ekonomi negara. Walau bagaimanapun pendekatan Industri Halal masih berkisar polemik polisi, pensijilan dan
penguatkuasaan. I

ndustri Halal Malaysia akan ketinggalan di belakang negara-negara Islam lain yang kini turut bersaing ingin menjadi juara Industri halal sekiranya Industri Halal Malaysia tidak mempertingkatkan nilai komersialnya. DPIM telah memberi komitmen sejak tahun 2016 dalam Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam bahawa
sudah tiba masanya untuk satu badan professional Audit Halal Global yang bebas ditubuhkan untuk mengaudit syarikat-syarikat domestik dan antarabangsa yang memiliki sijil halal Malaysia.

DPIM bersedia bekerjasama dengan agensi berwajib dalam Kerajaan Malaysia dan menyahut cabaran menawarkan kepakaran dan perkhidmatan audit halal professional kepada negara agar Integriti Halal Malaysia
sentiasa dipertingkat dan menjadi pilihan masyarakat dunia Islam.

Akhirnya cabaran utama DPIM adalah untuk memastikan agenda besar waqaf korporat dapat diterima sebagai satu instrumen ekonomi dalam pengagihan sumber kekayaan negara dalam naratif Malaysia Baharu.

Dewan Perdagangan yakin bahawa usaha memangkinkan ekonomi melalui masyarakat yang dikenali sebagai ‘ummatic economy’ akan menjadi kuasa ketiga dalam membantu membina negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa instrumen waqaf bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam malah merupakan satu pendekatan dakwah ekonomi yang memberi kebaikan kepada seluruh manusia selaras dengan konsep Islam sebagai rahmat lil alamin.

Maka telah tiba masanya untuk pendokong Majlis Agama melihat instrumen waqaf dengan konteks yang lebih besar merangkum aspek pengurusan kewangan dan pembangunan melangkaui bidang syariah semata-mata.

Dengan pendekatan yang inklusif ini, DPIM percaya lebih banyak aset strategik negara seperti syarikat milik kerajaan dapat dipertahankan dari kerakusan nafsu nafsi kapitalis moden.


* Mohsein Shariff merupakan Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.