Masih ada masa bagi mengubah cadangan Kesatuan Eropah (EU) yang merancang untuk menyekat minyak sawit, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor berkata masih ada peluang dan masa untuk membincangkan perkara itu dengan EU memandangkan rancangan kesatuan tersebut masih di peringkat cadangan dan memerlukan lima tahun sebelum dimuktamadkan.

“Keputusan akhir hanya akan dibuat pada 2021. Kedua-dua kerajaan Indonesia dan Malaysia perlu menyuarakan pendirian masing-masing yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan kita masih ada masa untuk mengubahnya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa IOI Corporation Bhd di sini, hari ini.

Lee, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IOI Corporation berkata keputusan berkenaan akan menjadi pendirian perdagangan, dan dengan dagangan dilaksanakan menerusi cara bersama, Malaysia berkemungkinan boleh membuat tindakan sama sekiranya cadangan itu diteruskan.

Resolusi tidak terikat Parlimen Eropah baru-baru ini menggesa bahagian eksekutif blok itu mempergiatkan usaha larangan pembasmian hutan akibat pengeluaran minyak sawit.

Dakwaannya adalah perluasan perladangan di Malaysia dan Indonesia menyaksikan peladang menggunakan kaedah tebang dan bakar untuk membuka kawasan, yang memusnahkan hutan hujan serta habitat haiwan, selain menyebabkan berlakunya jerebu yang teruk di sebahagian Asia.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia, EU merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia, menyumbang kira-kira 13 peratus penghantaran minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada 2016.

Kini, Malaysia dan Indonesia menyumbang lebih 80 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia.

Lee juga berkata, permintaan minyak sawit meningkat pada kadar 30 hingga 40 peratus setiap tahun, terutama dari negara membangun.

Selain negara membangun, minyak sawit Malaysia turut dieksport ke Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan China untuk digunakan dalam pengeluaran biodiesel.

-- BERNAMA