Kerajaan digesa memberi insentif kepada pemaju hartanah untuk membawa masuk teknologi terkini pembinaan rumah untuk mengurangkan kos dan harga rumah.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah Research Institute (KRI) Datuk Charon Mokhzani, ini kerana kos adaptasi teknologi itu yang membolehkan pembinaan perumahan lebih pantas dan murah, adalah sangat tinggi.

Tambahnya, tanpa insentif pemaju hartanah akan menyalurkan kos kepada harga akhir rumah.

"Kos teknologi ini adalah amat tinggi. Jadi mereka yang pertama lakukannya terpaksa menanggung kos tinggi. Cadangan kami adalah supaya kerajaan beri insentif kepada mereka yang sedia menggunakan teknologi ini agar lama-kelamaan, kos tersebut akan berkurangan," katanya ketika hadir di forum bertajuk 'Does Greater Prosperoty Come with Less Housing Affordability?' di sini,hari ini.

KRI memberi contoh di Filipina di mana sebuah syarikat pemaju hartanah berjaya membina rumah teres menggunakan teknologi sistem pembinaan industri (IBS) dan dijual pada harga RM60 ribu setiap satu.

Charon mencadangkan bekalan rumah mampu milik ditingkatkan supaya dapat diseimbangkan dengan permintaan.

Setakat ini, KRI menyatakan harga rumah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai sangat tidak mampu dimiliki.

"Bilangan penduduk sedang bertambah dan kemajuan sedang meningkat. Jadi terdapat permintaan lebih tinggi untuk perumahan. Kalau tak selesaikan masalah ini sekarang, akan terjadi masalah lebih besar nanti," kata Charon.

Selain cadangan meningkatakan bekalan perumahan, beliau berkata kerjasama rapat pemaju hartanah sehingga kepada pembekal bahan mentah harus ditingkatkan bagi mengoptimumkan kos dan meningkatkan produktiviti.