Ekspo China Asean (CAEXPO) ke-15 yang turut menampilkan Malaysia Pavilion untuk mempamerkan barangan tempatan sudah memasuki hari ketiga.

Kira-kira 180 ruang pameran dibuka buat usahawan kecil dan sederhana tempatan mempromsikan produk mereka yang terdiri dari pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, perkhidmatan, kesihatan dan kecantikan.

Sehubungan itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang sekali lagi mengetuai delegasi syarikat Malaysia ke CAEXPO ingin membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Guangzhou, Zaimah Osman, terdapat pertambahan permintaan ruang pameran setiap tahun dan perkara itu disifatkan sebagai positif buat usahawan tempatan.

“Justeru, saya ingin menyeru lebih ramai usawahan tempatan untuk menghubungi pihak Matrade terutamanya di China untuk mengetahui prosedur yang ditetapkan.

“Untuk pengetahuan umum, pejabat Matrade di China terdapat di lima cawangan iaitu Guanzhou, Beijing, Shanghai, Chengdu dan Hong Kong. Pihak kami akan sentiasa membantu usahawan tempatan untuk menembusi pasaran China,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di Nanning International Covention and Exhibition Centre pada Jumaat.

Tambahnya, antara produk berasakan durian, sarang burung dan kopi yang menjadi tumpuan utama pengunjung di sini.

“Walaupun produk tersebut menjadi tumpuan, tetapi kami masih lagi mementingkan kepelbagaian semasa pameran agar produk tempatan terus menjadi tumpuan dalam pasaran China,” jelasnya.

CAEXPO kali ke-15 ini berlangsung dari 12 hingga 15 September dan dijangka menarik lebih 77,000 pengunjung dari seluruh dunia.

Bagi CAEXPO kali ini juga, Malaysia tampil dengan ruang pameran paling besar, seluas 3240 meter persegi, yang digelar Malaysia Pavilion.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming merasmikan Malaysia Pavilion pada Selasa.