Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan penyamarataan Caj Perkhidmatan Penumpang (“PSC”) yang akan dilaksanakan di semua lapangan terbang di Malaysia.

Susulan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh Suruhanjaya pada Oktober 2016 berkenaan pindaan kepada PSC, hanya kadar PSC di klia2 bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN lebih rendah dari kadar PSC di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

Kadar PSC di klia2 untuk destinasi tersebut ditetapkan pada kadar RM50, manakala kadar untuk lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia ditetapkan pada kadar RM73.

Bermula 1 Januari 2018, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 akan ditetapkan pada RM73, yang merupakan kadar yang disamaratakan berbanding semua lapangan terbang lain di Malaysia. Tiada perubahan terhadap semua kadar PSC bagi lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia. Kadar yang dipinda ini akan dikenakan hanya kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh 1 Januari 2018.

Tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh ini tidak akan dikenakan kadar baharu tersebut walaupun tarikh
penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018.

MAVCOM, yang telah ditubuhkan pada Mac 2016 sebagai satu entiti bebas yang mengawal selia perkara ekonomi bagi industri penerbangan awam di Malaysia, bertanggungjawab terhadap penetapan caj aeronautik lapangan terbang, termasuk PSC, sebagaimana dalam seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.