Rangkaian televisyen kanak-kanak nombor satu Amerika, Cartoon Network berhasrat untuk bekerjasama dengan pembangun animasi tempatan untuk merancakkan lagi industri kandungan kreatif negara dan antarabangsa

Presidennya, Christina Miller berkata walaupun perancangan itu masih di peringkat perbincangan namun beliau menjangkakan ia dapat direalisasikan menjelang tahun 2017.
CHRISTINA MILLER: Perancangan kerjasama itu masih di peringkat awal namun kami menjangkakan ia dapat direalisasikan menjelang 2017.- Foto Astro Awani
Tambahnya, potensi kandungan animasi kreatif di rantau Asia tenggara adalah sangat luas dan syarikat itu optimis kerjasama seumpama ini akan memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.

"Pertumbuhan dalam sektor kandungan animasi kreatif di Malaysia sangat tinggi dan kami melihat ia sebagai peluang untuk turut serta dalam pasaran ini dengan mencari pembangun animasi baru, studio baru dan seumpamanya, " ujar beliau dalam temubual khas bersama Astro Awani di ibu negara pada Khamis.

Menurut Miller, ketika ini Cartoon Network mempunyai kadar pengeluaran tinggi pernah dicatatkan dan pihaknya mahu meneroka dan meluaskan rangkaian perniagaan di rantau ini.

"Kami mahu mencari inspirasi di rantau ini dan kami mempunyai program baru yang sedang dibina dan mencari rakan kongsi untuk menjalinkan kerjasama dalam program-program baru kami nanti," ujar beliau.

Bagi pembangun kandungan animasi kreatif tempatan, ia merupakan platform yang baik untuk mengembangkan rangkaian kandungan kreatif mereka bukan sahaja di peringkat tempatan malahan global.

Rangkaian televisyen Cartoon Network mempunyai jumlah penonton sebanyak 385 juta di seluruh dunia serta disiarkan di 194 buah negara.