Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada Sabtu berkata nama caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran wajar ditukar segera agar tidak mengelirukan pengguna apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan mulai 1 April ini.

Antara cadangan nama baharu kepada caj perkhidmatan itu ialah caj hotel dan caj restoran, katanya ketika mengulas mengenai caj perkhidmatan restoran dan hotel yang didakwa terlalu tinggi dan seterusnya boleh mengelirukan pengguna apabila CBP dilaksanakan.

"Caj perkhidmatan yang dikenakan hotel dan restoran ini kerajaan tidak ambil. Caj itu dipanggil tips dan sepatutnya ia diberi kepada pekerja," katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira dua jam bersama penduduk sekitar Kampung Larut Tin, di sini menerangkan isu berkaitan CBP, Bajet 2015 dan isu semasa yang lain.

Ahmad Maslan turut mengingatkan syarikat yang masih enggan mendaftar di bawah CBP bakal berdepan kompaun RM15,000 dan didaftar secara paksaan bermula hari ini.

"Hari ini (Sabtu) sehingga 12 tengah malam ini merupakan hari terakhir untuk berdaftar. Mereka (syarikat) telah diingatkan banyak kali," katanya.

Sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 343,920 syarikat telah berdaftar untuk CBP.

"Semalam sahaja sebanyak 18,641 syarikat telah berdaftar secara dalam talian dan saya rasa hari ini mungkin belasan ribu lagi yang akan berdaftar," katanya.

Sementara itu, Ahmad mengulangi bahawa pelaksanaan CBP nanti tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

"Terdapat beberapa sebab antaranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang dikenakan sekarang lebih tinggi daripada CBP, ada sistem 'kredit cukai input' dan barang yang banyak digunakan rakyat tidak dikenakan CBP iaitu bertaraf sifar ataupun dikecualikan," katanya.

Katanya, selepas ini beliau akan ke Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang untuk menerangkan isu berkaitan CBP, Bajet 2015 dan isu semasa yang lain.