Bukan sahaja mudah dan cepat, malah Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) menerusi Tekun Nasional (TEKUN) memberi kelegaan buat ramai usahawan khususnya dalam sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

Malah inisiatif kerajaan dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam usaha meringankan beban golongan itu susulan pandemik COVID-19 dilihat benar-benar dekat dengan rakyat.

Bagi pemilik Realtees Enterprise, Nurul Jannah Jamian, suntikan modal itu akan digunakan untuk merancakkan lagi pendigitalan perniagaan seperti yang disarankan kerajaan.

Katanya, usaha itu akan terus diperhebatkan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam normal baharu.

"Saya menerima bantuan ini sebanyak RM10,000 daripada TEKUN dan bantuan ini amat berbeza dengan sebelum ini kerana tidak ada kadar faedah yang dikenakan.

"Oleh itu, bantuan ini amat membantu dan benar-benar memahami kami sebagai PKS yang terjejas,"katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Nurul Jannah berkata, pandemik COVID-19 benar-benar memberi tekanan kepada perniagaannya sehingga tidak memperoleh pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Sebelum ini kami mampu menjana pendapatan sehingga RM60,000 sebulan dan selepas wabak itu, kami memang terkesan.

"Sudah pasti suntikan modal ini akan kami manfaat untuk tujuan promosi dalam talian dan pendigitalan perniagaan," ujarnya lagi.