Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Berhad Datuk Rohana Rozhan memenangi Anugerah Asia Talent Management 2016 di CNBC Asia Business Leaders Awards (ABLA) ke-15, malam tadi.

Beliau menerima anugerah itu bagi mengiktiraf penekanan dalam memupuk bakat dalaman untuk mencapai dan menghasilkan inovasi kreatif dihadapan dan di sebalik kaca televisyen.

"Saya amat bangga menerima anugerah ini bagi pihak pasukan Astro kerana saya rasa ia merupakan pengesahan sebenar bagaimana hebat mereka di di hadapan dan dis ebalik kaca televisyen," kata Rohana dalam ucapannya selepas menerima anugerah itu.

Anugerah itu juga mengiktiraf sumbangan besar warga Astro dalam membangunkan, mengekalkan serta memupuk pemimpin dari generasi akan datang.

"Warga Astro boleh dikatakan paling pelbagai, yang terdiri daripada pakar teknologi, kreatif, pemasaran, penganalisis, peguam, akauntan, pelakon, pelawak, penyanyi, pembaca berita dan wartawan penyiaran dan sebagainya.

“Kekuatan Astro adalah penyatuan kami sebagai satu pasukan yang hebat, sentiasa berusaha dan mencabar diri sendiri untuk menyampaikan kisah yang dekat dengan hati penonton dan menjadi pilihan pelanggan kami,” katanya.

Pada 2013, Rohana menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia CNBC Ke-12 untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Bangkok, Thailand.

ABLA yang bermula pada 2001 mengiktiraf pemimpin perniagaan yang mendorong perubahan positif dalam dunia korporat melalui inovasi.