Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin disenaraikan sebagai 100 penjaga jenama global terbaik, menurut laporan syarikat penilai jenama yang berpangkalan di Britain, Brand Finance.

Dalam laporan Brand Finance Global 500 2019 tersebut, Wan Zulkiflee menduduki tempat ke-93 dengan skor indeks 41.6 daripada 100, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos mempertahankan tangga pertama dengan skor indeks sebanyak 72.4.

Laporan kaji selidik tersebut menilai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berdasarkan kebolehan mereka sebagai pengurus jenama dan mennilai mereka mengikut kejayaan mereka dalam pelaburan pemasaran, ekuiti pemegang kepentingan serta prestasi perniagaan.

Wan Zulkiflee dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat multinasional tersebut sejak 1 April 2015 dan beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang disenaraikan dalam laporan tersebut pada tahun ini.

Petronas juga naik lima anak tangga ke kedudukan 127 dalam ranking laporan yang menyenaraikan 500 jenama paling bernilai.