Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Thai AirAsia Co Ltd, Tassapon Bijleveld membeli semula 36.3 peratus saham dalam Asia Aviation PCL pada 8.279 bilion baht (RM1.03 bilion) daripada Pengerusi King Power Group, Vichai Srivaddhanaprabha dan keluarganya.

Asia Aviation memiliki 55 peratus kepentingan dalam Thai AirAsia dan susulan transaksi itu, kepentingan Tassapon dalam syarikat tersebut meningkat kepada 41.3 peratus daripada lima peratus sebelum ini.

Dalam satu nota, Centre for Aviation (CAPA) berkata, Srivaddhanaprabha dan keluarganya membeli kepentingan mereka dalam syarikat itu pada 7.9 bilion baht tahun lepas.

Tassapon dilaporkan berkata, pembelian itu akan membolehkan beliau merealisasikan visi dan hala tuju syarikat penerbangan tersebut.

"Thai AirAsia akan terus melabur pada 2018 seperti yang dirancang, termasuk pembelian tujuh pesawat. Kami menganggarkan jumlah penumpang pada 2018 kira-kira 22 juta dan kami boleh mencapainya menerusi penembusan pasaran baharu di ASEAN, India dan China," katanya.

Sementara itu, CEO Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes melalui akaun Twitter rasminya berkata: "hari bersejarah bagi AirAsia memandangkan kita menuju ke arah ASEAN dan sebagai sebuah syarikat. @tassapon mendapat semula pemilikan AirAsia Thailand. 'One AirAsia' akan direalisasikan bersama-sama Indonesia dan Filipina".

Fernandes berkata, AirAsia kini bekerjasama dengan Palantir Technologies bagi pembangunan yang akan meningkatkan jualan secara mendadak dan mentransformasikan syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada syarikat digital.

-- BERNAMA